Home   Forum   Help Search Calendar Links Login Register   **
Welcome, Guest. Please login or register.
Did you miss your activation email?
May 24, 2012, 09:25:25 PM

Login with username, password and session length
Program
EduWebTVLatih TubiLINUSManaging Challenging SchoolsGerakan Memperkasakan SekolahLDPICTL SMICTL SRMalaysian Grid for Learning (MyGfL)ProtimPPSMISIP
Recent
[Today at 08:34:38 PM]

[Today at 05:51:30 PM]

[Today at 11:53:44 AM]

[Today at 11:14:53 AM]

[Today at 09:14:15 AM]

[Today at 07:24:26 AM]

[Yesterday at 09:30:31 PM]

[Yesterday at 08:37:00 PM]

[Yesterday at 07:47:07 PM]

[Yesterday at 11:32:41 AM]
 

Pages: [1]   Go Down
  Print  
Author Topic: Novel Seteguh Karang: Biodata Pengarang Dan Sinopsis BAB  (Read 1047 times)
0 Members and 1 Guest are viewing this topic.
Dorothy Yii Ai Hung
SMK Kapit
Teacher
Senior Member
*

Fame: 13
Offline Offline

Gender: Female
Posts: 319



« on: January 19, 2009, 02:15:40 PM »

NOVEL SETEGUH  KARANG

   Biodata Pengarang

Tuan Faridah Syed Abdullah dilahirkan pada 21 November 1967 di Dungun, Terengganu.  Beliau mendapat pendidikan awal di Dungun, kemudian melanjutkan pelajaran di ITM Cawangan Perlis sehingga memperoleh Diploma Pengurusan Ladang.  Tuan Faridah kemudiannya menyambung pelajarannya di ITM, Shah Alam sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perakaunan pada tahun 1995.
Selepas tamat pengajian, Tuan Faridah bertugas sebagai Eksekutif Akaun dan Pegawai Tadbir di beberapa buah firma sebelum mengikuti kursus Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Batu Pahat, Johor pada tahun 1997.
Pembabitan Tuan Faridah dalam penulisan bermula pada tahun 1983.  Novel pertamanya, Pada Garis Perkenalan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1989.  Selepas itu, menyusul novel-novel lain seperti Indarti (1993), dan Harapan Masih Bersemi (1993).
Guru yang sedang mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu ini juga menulis puisi dan cerpen remaja.  Novel Seteguh Karang ini ialah karya Tuan Faridah Syed  Abdullah yang memenangi tempat kedua Peraduan Menulis Novel Remaja DBP 1990.


   Sinopsis Novel

Bab 1

Tengah hari itu, Awanis sampai di rumahnya dalam keadaan kepenatan kerana dia terpaksa berdiri sepanjang perjalanan dari Arau ke Ipoh.  Dia berasa bingung kerana masih tiada perubahan pada diri Kak Maysarah yang kelihatan tidak bersemangat untuk hidup.  Jam enam petang, dia terjaga dari tidur setelah dikejutkan oleh Anita yang baru pulang dari tuisyen.  Semasa berada di taman rumah, ingatannya melayang kepada ibu dan bapa yang telah meninggal dunia lalu berasa rindu kepada mereka.
   Sedang Awanis melayani khayalannya, Pak Oni, adik kepada bapanya sampai di rumah setelah habis bekerja di Lumut.  Pak Oni menegurnya.  Mereka berbual dan bergurau.  Dia teringat kembali pada zaman kanak-kanaknya.  Awanis pernah merengek kepada bapanya ingin berkulit cerah seperti Kak Maysarah dan Anita sedangkan dirinya berkulit sawo matang seperti bapanya.  Usikan bapa saudaranya itu menjadikan Awanis seorang yang rendah diri.
   Malam itu, mereka makan bersama.  Suasana riang bertukar sebaliknya apabila Awanis memberitahu bahawa dia akan berangkat ke Terengganu pada malam esok untuk menjalani latihan amali di ladang selama enam minggu.  Anita telah masuk ke kamar Awanis lalu meluahkan perasaannya.  Dia akan kesepian dengan pemergian Awanis dan jika boleh, dia juga ingin keluar meninggalkan rumah yang sepi itu.  Awanis amat bersimpati.  Kasih sayangnya kepada Anita tidak berbelah bahagi walaupun dia tahu bahawa Anita bukan adik kandungnya.  Mereka berdua tidur sebilik pada malam itu.

Bab 2

   Pada waktu malam, Awanis dihantar ke perhentian bas oleh Kak Maysarah, Anita, dan Pak Oni.  Perasaan marahnya tidak dapat disembunyikan.  Dia sendiri tidak tahu mengapa pada malam itu dia menjadi begitu perasa.  Bas meninggalkan perhentian diiringi suasana penuh keharuan dan kesedihan.  Buat pertama kalinya setelah kematian ibu bapa, Awanis menangis sejurus bas beredar meninggalkan Kak Maysarah, Anita, dan Pak Oni di perhentian menuju ke destinasinya, Kuala Terengganu.
   Awanis selamat sampai di tempat yang dituju, iaitu pejabat Pertubuhan Peladang Hulu Paka  sekitar jam sebelas pagi.  Dia berkenalan dengan beberapa orang  pekerja pejabat, termasuk Encik Johari, iaitu pegawai yang ditugaskan melatih dan menilai prestasi latihannya.  Dia berasa cukup tidak senang dengan sikap Encik Johari yang dingin dan tidak suka kepada pelatih perempuan serta memperkecil kebolehan perempuan sepertinya.
   Pada sebelah petang, Awanis diarah oleh Encik Johari mengikutnya ke ladang.  Pertama kali menunggang motosikal tanpa brek yang sempurna merupakan suatu pengalaman yang amat mencabar.  Namun berkat kegigihan dan keberanian, dia berjaya menempuhnya dengan jaya.  Perasaan benci menyelinap dalam hatinya terhadap Encik Johari yang begitu kasar dalam melaksanakan tugas sebagai pembimbingnya.  Namun dia terpaksa menelan pahit kesemuanya kerana dia tidak mahu menunjukkan kelemahan diri, apatah lagi mengakui kekalahan setelah menerima cabaran Encik Johari.

Bab 3
   Waktu sampai semula di pejabat, hatinya terbakar apabila mendengar beberapa orang pekerja pejabat ketawa beramai-ramai seolah-olah mengejeknya.  Pada hari itu, Awanis pulang mengikuti Kak Nor, seorang Pegawai Akaun di pejabat tersebut.  Dia akan tinggal di rumah Kak Nor sepanjang tempoh latihannya kerana tiada pilihan lain lagi.  Dia berasa amat kekok dan sukar untuk menyesuaikan diri tinggal di situ.  Dia benci dengan keadaan itu kerana kadang kala dia terpaksa memuaskan kehendak orang lain sehingga menelan semua kebebasan diri sendiri.  Walaupun keletihan, dia harus membantu Kak Nor di dapur.  Awanis membantunya menggoreng pisang dan menyiang ikan walaupun sebelum ini dia tidak pernah melakukan kerja-kerja di dapur.
   Encik Johari menyuruh Awanis masuk ke ladang seorang diri dengan menunggang motosikal pejabat yang telah uzur itu.  Encik Johari memarahi Awanis kerana pergi ke Blok D sedangkan dia menyuruh Awanis pergi ke Blok C.  Kemudian, Awanis dibawa melihat kerja-kerja menurunkan buah kelapa sawit.  Dalam perjalanan pulang, Encik Johari mengajak Awanis minum di warung tetapi ditolak oleh Awanis.
   Di pejabat, Awanis kurang senang dengan sikap Kak Sofia dan Kak Maznah yang mencuba memasangkannya dengan Wan Asri.  Awanis masuk menemui Encik Basri, Pengurus Besar.  Encik Basri meletakkan Awanis di bawah penyeliaan Encik Johari.  Awanis turut berasa aneh kerana kakitangan di pejabat itu tidak bekerja terutamanya pada sebelah petang.  Sambil menconteng-conteng buku nota, dia teringat kepada dua rakannya, Syakila dan Maria yang masing-masing menjalani latihan di Selangor dan Johor.

Bab 4
   Hari berganti.  Pada pagi itu walaupun keberatan, Awanis terpaksa membonceng motosikal Encik Johari yang mengarahkannya berbuat demikian.  Mereka masuk ke ladang Blok A untuk melihat kerja-kerja menurunkan buah kelapa sawit oleh pekerja-pekerja Indonesia.  Awanis sempat mengambil beberapa keping gambar dengan kameranya.  Di ladang itu, Awanis telah menyahut cabaran Encik Johari supaya menjatuhkan setandan kelapa sawit. Seluruh tenaganya hampir habis, tetapi buah kelapa sawit itu belum berjaya dijatuhkan.  Dengan semangat yang cekal, dia mengumpul seluruh sisa-sisa tenaga yang masih ada padanya melakukan tugas itu.  Akhirnya sebagaimana yang dia sentiasa yakini, dia berjaya menjatuhkan tandan kelapa sawit itu dari pokoknya.  Buat pertama kalinya, Encik Johari telah memuji kehebatannya.  Encik Johari turut membelanjai Awanis makan nasi lemak dan teh ais.
   Sudah seminggu Awanis berada di tempat baru.  Wan Asri, pemuda yang tidak mengendahkan kehadirannya pada hari pertama telah mempelawanya bersiar-siar di bandar Kuala Terengganu pada hari minggu berikutnya.  Akhirnya dia membuat keputusan menolak pelawaan Wan Asri. Kak Nor pula menyuruh Awanis mengajak kawan-kawan sepejabat berjalan-jalan kerana dia tiada masa hendak membawa Awanis.  Pada minggu kedua, sekali lagi Wan Asri mengajaknya bersiar-siar di Kemaman.  Dia menyetujuinya.  Mereka ke Kemaman dan kemudian ke Teluk Cempaka di Kuantan. 
Semasa berjalan-jalan dengan Wan Asri, Awanis dapat mengenali Wan Asri dengan lebih dekat.  Wan Asri seorang yang jujur dan baru sebulan dikecewakan oleh kekasihnya. Mereka berbual tentang banyak perkara termasuk pandangan masing-masing tentang soal cinta.  Menurut Awanis, dia tidak mahu bercinta kerana takut dikecewakan.  Peristiwa yang telah berlaku kepada Kak Maysarah memberikan pengajaran kepadanya.
Bab 5

Esok harinya, setelah diminta oleh Kak Maznah dan Kak Sofia di pejabat, dia telah menceritakan pengalamannya itu.  Namun, dia berasa sakit hati mendengar mereka berdua ketawa mengejek apabila Wan Asri sampai di pejabat.  Pada hari itu, tiada kerja yang perlu dilakukan.  Awanis berasa bosan.  Kenangan terhadap rumah di Ipoh, Kak Maysarah, dan Anita menjelma.  Dia mengingati bagaimana dia berasa cemburu kepada Kak May yang mempunyai rupa paras yang cantik dan pandai sedangkan dia sebaliknya.  Di dalam lamunannya itu, dia terkenang peristiwa Kak Maysarah rela ditunangkan dengan Roslan, pekerja di syarikat bapanya setelah dia dikecewakan oleh teman lelakinya Firdaus.  Namun begitu, setelah berfikir panjang, Kak Maysarah merajuk dan melarikan diri ke Pulau Pinang kerana dimarahi setelah dia mendesak agar pertunangannya diputuskan.  Ibu dan bapanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya sekembalinya mereka dari Pulau Pinang setelah gagal memujuk Kak Maysarah pulang ke rumah.  Bermula dari saat itulah, Kak Maysarah menjadi pemurung dan tidak bersemangat untuk terus hidup kerana berasa bersalah atas apa yang berlaku.
Awanis segera menulis surat kepada Anita sebaik sahaja dia tersedar dari lamunannya.  Setelah selesai menulis, dia masuk ke ladang kelapa sawit.  Pada hari itu, dia berkenalan rapat dengan dua orang pekerja Indonesia, iaitu Bakri dan Budi, yang masing-masing berusia lapan belas dan lima belas tahun.  Mereka yang sepatutnya masih bersekolah, tetapi kerana miskin mereka tidak dapat meneruskan persekolahan.
Mereka berbual mesra seperti telah lama berkenalan.  Awanis cukup terharu dengan keinginan Budi untuk pulang ke kampung halamannya kerana amat rindu kepada keluarganya.  Apabila Encik Johari sampai,  pekerja-pekerja Indonesia itu tidak lagi seramah tadi.  Awanis dan Encik Johari telah bertengkar kerana tidak sependapat tentang kejujuran pekerja-pekerja Indonesia.  Sebenarnya dia bimbang akan keselamatan Awanis tetapi ditempelak oleh Awanis kerana berprasangka buruk terhadap buruh Indonesia.
Keesokan harinya, Awanis dan Encik Johari masuk ke ladang semula.  Malangnya, pada hari tersebut, Budi telah meninggal dunia kerana dipatuk oleh ular hitam.  Awanis amat bersimpati terhadap kejadian yang menimpa Budi dan meminta Encik Johari menguruskan penerbangan jenazah Budi pulang ke Indonesia.  Awanis sanggup membiayai kos penerbangan itu.  Jenazah Budi diterbangkan ke Indonesia dengan dibiayai oleh pihak ladang.  Sejak peristiwa itu, Awanis banyak menghabiskan masa di pejabat.  Encik Johari membawa Awanis meronda ladang dengan membonceng motosikalnya tanpa berhenti di mana-mana.


Bab 6

Wan Asri dan Awanis berjalan-jalan di Kuala Dungun.  Esoknya, di pejabat seperti biasa Kak Sofia dan Kak Maznah menyindir Awanis dan Wan Asri.  Awanis tidak dapat pergi ke ladang pada hari ini kerana Encik Johari menyuruhnya menghantar surat kepada penghutang dan si piutang Pertubuhan Peladang Kawasan yang jumlahnya melebihi empat ratus orang.
 Awanis amat benci dengan sikap Kak Sofia dan Kak Maznah yang sering menyindir keakrabannya bersama Wan Asri. Yang turut membebankan fikirannya ialah ketidaksesuaiannya dengan keluarga Kak Nor yang didatangi oleh Kak Suraya dan suaminya yang pendiam.  Sekali lagi Awanis diajak oleh Wan Asri pergi ke Kuala Terengganu tetapi Awanis menolaknya.
Hari Jumaat itu, Awanis ke bandar Kuala Terengganu seorang diri.  Namun, dia dapat bertemu dengan Wan Asri.  Mereka berjalan-jalan di sekitar bandar termasuk Pasar Besar Kedai Payang.  Kemudian, mereka menonton wayang di panggung Cathay. 
Seperti yang dijangka, apabila dia kembali ke pejabat pada hari Sabtu, sekali lagi dia disindir.  Pada hari itu, dia menjelaskan bahawa hubungannya dengan Wan Asri tidak lebih sebagai sahabat biasa sahaja.  Bagi menguatkan lagi kebenaran penjelasannya itu, dia terpaksa berbohong bahawa dia telah pun bertunang.


Bab 7

Pada hari Ahad, Awanis menerima panggilan daripada Anita.  Awanis menjadi bingung kerana Anita memberitahunya bahawa dia telah lari meninggalkan rumah kerana Kak Maysarah mengusirnya.  Anita sudah tahu bahawa dia hanyalah anak angkat abah dan mama.  Awanis meminta kebenaran Encik Basri untuk pulang ke rumah bagi menyelesaikan masalah keluarga.  Awanis pulang ke Ipoh lalu mencari rumah Cikgu Rushda yang ditumpangi oleh Anita.  Awanis memujuk Anita supaya pulang ke rumah tetapi Anita tetap enggan.
Awanis pulang ke rumah.  Dia memarahi Kak May kerana sikapnya yang bermurung dan menghalau Anita dari rumah.  Awanis ke rumah Cikgu Rushda dan membawa Anita pergi ke rumah Puan Mary dan Encik Lee.  Puan Mary menerima kedatangan anaknya.  Anita gembira.  Akan tetapi, apabila Encik Lee pulang, dia menghalau Anita kerana baginya Anita ialah anak sial yang meyebabkan perniagaannya merosot.  Anita amat kecewa dengan sikap bapanya itu.
Esoknya, Awanis pulang ke rumah.  Dia bergaduh dengan Kak May dan bertindak meninggalkan rumah.  Kak Maysarah, Pak Oni, dan Mak Cik Tipah bingung dengan tindakan Awanis itu.  Di stesen bas Ipoh, Pak Oni cuba memujuk Awanis tetapi Awanis tetap tegas dengan keputusannya.

Bab 8

Setelah dua minggu Awanis berada di kampus ITM, Pak Oni memberitahu Awanis bahawa Kak Maysarah berada di wad kecemasan kerana menelan pil tidur yang berlebihan.  Awanis segera pulang ke Ipoh dan melawat Kak Maysarah.  Dia menegur perbuatan Kak Maysarah kerana perbuatan membunuh diri adalah dosa besar.
Awanis memohon maaf daripada Kak Maysarah tetapi Kak Maysarah mengaku bahawa Awanis berada di pihak yang benar.  Kak Maysarah meminta maaf daripada Anita.  Pada malam itu, Awanis mengucap syukur kepada Allah kerana mengembalikan Kak Maysarah kepadanya semula.  Sebuah keluarga bersatu semula dan kembali ceria untuk memulakan kehidupan baru.
« Last Edit: February 14, 2009, 01:11:27 PM by Dorothy Yii Ai Hung » Logged

Dorothy Yii Ai Hung
Guru
SMK Kapit
Rabbilah Ayup
SK Senadin
Teacher
Senior Member
*

Fame: 15
Offline Offline

Gender: Female
Posts: 213


U say the same, u stay the same...


« Reply #1 on: August 28, 2009, 03:28:10 PM »

Terima kasih cikgu...
Logged

Rabbilah Binti Ayup
Guru Penolong Agama
SK Senadin, Miri
my_rafiq@yahoo.com.my
Pages: [1]   Go Up
  Print  
 
Jump to:  

PIPPBahagian Pembangunan Kurikulume-Paymente-Hasil
Powered by MySQL Powered by PHP Powered by SMF 1.1.16 | SMF © 2011, Simple Machines | Sitemap Valid XHTML 1.0! Valid CSS!
Page created in 0.101 seconds with 27 queries.