Dorothy Yii Ai Hung
SMK Kapit
Teacher
Senior Member
Fame: 13
Offline
Gender: 
Posts: 319
|
 |
« on: January 19, 2009, 02:19:48 PM » |
|
NOVEL TERMINAL TIGA oleh Othman Puteh SINOPSIS TERPERINCI SATU Rimpa bertolak dari rumah sewanya di Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan teksi untuk pulang ke Kota Kinabalu, Sabah setelah berada di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) semenjak bulan Julai. Rimpa tiba di lapangan terbang itu dua jam awal untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang bermula pada jam 4.30 petang. Jadi, Rimpa bertolak dari rumahnya pada pukul 4.30 petang. Di lapangan terbang itu, Rimpa ke kaunter check-in tanpa bagasi dan dia dilayani oleh Noraida yang memberitahunya bahawa kemungkinan penerbangannya delay setengah jam. Noraida juga memberitahu Rimpa supaya di berada di Ruang Menunggu Pintu 8 setengah jam sebelum berangkat untuk menaiki pesawat MH1626. Kemudian, Rimpa masuk ke ruang dalam Terminal 3 yang agak sibuk. Jerebu di luar bangunan tersebut tidak begitu tebal. Rimpa hanya bercuti selama 8 hari, tetapi dia ingin balik ke kampungnya untuk mencari ayahnya yang dikatakan berada di Nabawan. Ayahnya telah meninggalkan kampung mereka lebih kurang sepuluh tahun yang lalu. Di lapangan terbang itu, Rimpa menunaikan sembahyang Maghrib di surau. Kemudian, dia membaca manuskrip novel Eliza yang dibawanya. Penerbangan ke Kota Kinabalu ditunda dari pukul 20.15 ke pukul 20.50.
DUA Rimpa terpaksa mengorbankan masa selama lima jam pada petang itu sebelum menaiki pesawat MH1626 pada jam 21.50 dari Subang ke Kota Kinabalu yang mengambil masa dua setengah jam. Sebaik sahaja berada di dalam pesawat tersebut, Rimpa teringat akan kisah silamnya ketika hendak meninggalkan kawasan pedalaman tempat kelahirannya dan keluarganya yang hidup dalam kesusahan semenjak ayahnya meninggalkan mereka tanpa sebarang pesan. Rimpa kemudian mengikut Bang Maily ke Kota Kinabalu kerana hendak mengubah nasibnya. Dari situ, Rimpa mengikuti kursus Penulisan Kreatif di Akademi Seni Kebangsaan, Kuala Lumpur. Dalam masa cuti pertengahan semester, Rimpa pulang ke Kota Kinabalu untuk menguruskan biasiswa atau pinjaman dari institusi tertentu. Dalam penerbangan itu, Rimpa dihidangkan dengan nasi ayam oleh pramugari yang bertugas yang bernama Azlina.
TIGA Semasa penerbangan, Rimpa teringat semasa dia dan Bang Maily menguruskan kursus Penulisan dan kursus drama di Kota Kinabalu. Dua orang penceramah dari Kuala Lumpur diundang untuk mengendalikan kursus tersebut. Rimpa terpaksa menguruskan perpindahan peserta-peserta ke Kundasang kerana chalet itu digunakan untuk peserta Sastera Lisan. Pada malam itu, Rimpa minum minuman keras dalam tin yang dihulurkan oleh Ramon. Apabila Rimpa minum minuman tersebut, Bang Maily melihat Rimpa berbuat demikian, tetapi dia tidak menegurnya. Pada ketika itu, berlaku sedikit perselisihan antara Rimpa dengan Ramon. EMPAT
Sebelum pesawat tersebut mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Rimpa teringat akan Ruzaini dan Azlina. Apabila tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Rimpa menelefon Bang Maily, tetapi isteri Bang Maily, Kak Naspura memberitahunya bahawa Bang Maily ke Kudat. Rimpa mengambil teksi ke rumah Bang Maily. Dalam perjalanan itu, dia mengimbas kembali peristiwa-peristiwa dia bersama-sama Bang Maily. Dia telah berkali-kali meminta Bang Maily supaya mengIslamkannya, tetapi Bang Maily memintanya supaya bersabar. Apabila teksi itu berhenti di hadapan rumah Bang Maily, Rimpa disambut oleh Kak Naspura.
LIMA
Rimpa bermalam di rumah Bang Maily. Anak-anak Bang Maily, Enah dan Jani sudah tidur sebelum Rimpa tiba. Pada malam itu, Rimpa tidak dapat tidur. Awal-awal pagi, Rimpa bersembahyang Subuh lalu berzikir dan berdoa agar kepulangannya untuk mencari ayahnya dan memperoleh jaminan biasiswa atau pinjaman daripada pihak berkenaan dimakbulkan oleh Allah. Rimpa memberitahu Kak Naspura bahawa dia mengikuti kursus Penulisan Kreatif di ASK. Selepas bersarapan, Rimpa berbual-bual dengan Kak Naspura. Dalam masa mereka berbual-bual, Bang Maily pulang bersama Ramon.
ENAM
Ramon mengucapkan tahniah kepada Rimpa kerana berjaya mengikuti kursus di ASK. Kemudian, Rimpa menaiki teksi ke kampungnya. Setelah tiga kali bertukar kenderaan, lewat Zuhur, dia tiba di kampungnya. Itulah kali kedua dia pulang ke kampung setelah meninggalkan kampung untuk ke Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Di desa itu, dia menemui ibunya, adik-adiknya, dan Ruzaini. Setelah tiga hari dua malam di kawasan pedalaman itu, Rimpa bersama dua orang adiknya pergi ke Nabawan. Sehari suntuk mereka berusaha mencari ayah mereka di Nabawan, tetapi gagal. Semasa di kampung, Rimpa juga sempat berbincang dengan Ruzaini tentang masalah mereka, terutamanya tentang kehidupan di kawasan pedalaman itu. Rimpa meninggalkan kampung itu dan balik ke rumah Bang Maily.
TUJUH
Rimpa ke pejabat Bang Maily. Ramon berada di sana. Rimpa mengisi borang untuk mendapatkan biasiswa atau pinjaman dan menurut Bang Maily, hal itu dapat diselesaikan dalam masa sebulan hingga dua bulan lagi. Pada malamnya, Rimpa bersama Ramon dan Bang Maily ke suatu pertemuan penulis di MUIS. Rimpa berangkat ke Kuala Lumpur semula.
LAPAN
Rimpa berada di dalam pesawat dari Kota Kinabalu ke Subang. Di dalam pesawat itu, dia mengimbas kembali pelbagai perkara tentang kisah hidupnya, biasiswa, ayah, dan pekerjaannya selepas tamat kursus di ASK kelak.
SEMBILAN
Rimpa tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada awal pagi. Di situ, Rimpa berjumpa dengan Cikgu Ahmad Ibrahim iaitu guru yang telah mengajarnya ketika dia mengambil Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sepuluh tahun yang lalu. Kemudian, Cikgu Ahmad dipindahkan ke Kota Kinabalu. Cikgu Ahmad melanjutkan pelajarannya di Universiti Sains Malaysia (pengajian luar kampus) dan sesudah itu bertugas di Jabatan Pendidikan Sabah. Dia beristeri dengan gadis keturunan Sungai dan mempunyai tiga orang anak. Cikgu Ahmad terkandas di Terminal 3, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah selama dua hari dan mendapat penerbangan ke Kota Kinabalu pada jam 7.00 pagi. SEPULUH
Kuliah pada hari itu bermula pada jam 2.00 petang. 20 minit sebelum itu, Rimpa, Azlina, dan Jasmin ke kantin. Sesudah itu, Rimpa dan Azlina ke surau untuk sembahyang Zuhur. Kemudian, mereka masuk ke bilik kuliah. Pensyarah memberi kuliah tentang karya cereka, iaitu cerpen dan novel. Kuliah Penulisan Kreatif itu tamat pada jam 4.00 petang. Kemudian, Rimpa dan Jasmin ke kantin sementara menunggu kuliah berikutnya pada jam 5.00 petang.
SEBELAS
( I ) Rimpa, Azlina, dan Jasmin berada di kantin. Di situ, Azlina memberi penerangan tentang penjagaan contact lense. ( II ) Rimpa membaca surat yang baru diterimanya daripada Ruzaini. Ruzaini menceritakan kepada Rimpa bahawa dia sudah fasih melafazkan kalimah syahadat dan tentang jemaah lelaki yang begitu baik terhadapnya. Dalam surat itu, Ruzaini juga menceritakan bahawa kumpulan pendakwah itu telah pergi hingga ke rumahnya dan ke rumah Rimpa. Dia juga menerangkan bahawa bapa Rimpa sudah pulang ke pangkuan keluarganya. ( III ) Dari rumah sewanya, Rimpa menaiki bas mini ke arah Bank Negara dan berjalan ke ASK. Di ASK, Rimpa ke perpustakaan. Semasa keluar dari perpustakaan, Rimpa beriringan dengan Azlina. Rimpa memberitahu Azlina bahawa bapanya telah pulang ke kampung. Ketika mereka hendak ke pejabat untuk melihat surat, mereka bersua dengan Jasmin yang datang dari kantin. Jasmin memberi surat Rimpa yang diambilnya dari pejabat ASK. Surat itu daripada Kementerian Kebudayaan Negeri Sabah.
( IV ) Sebelum tidur, Rimpa membuat beberapa catatan dalam diari kecilnya. Antaranya yang ditulis pada 3 Oktober 1994 jam 12.05 malam ialah: 1. pada masa cuti semester pertama, dia akan pulang ke kampung untuk menemui ayahnya, 2. akan menghantar surat kepada Bang Maily untuk mengucapkan terima kasih kerana menguruskan pinjaman RM3,000 setahun untuk perbelanjaannya di ASK, 3. berharap Ramon dapat bekerja dengan baik di bawah Bang Maily, dan 4. belum mampu membelanja Azlina dan Jasmin.
DUA BELAS
Selepas tamat peperiksaan semester pertama di ASK yang diadakan dari 7 November hingga 19 November 1994, Rimpa pulang ke Kota Kinabalu dengan pesawat MH 1628. Dia bercuti selama sebulan setengah. Semasa berada di dalam pesawat, Rimpa teringat akan pelbagai pengalaman yang lalu. Pesawat itu mendarat 20 minit lewat kerana keadaan cuaca di Kota Kinabalu yang tidak baik.
TIGA BELAS
Pesawat itu mendarat dengan selamatnya pada awal pagi. Rimpa tidak terus ke rumah Bang Maily, tetapi dia balik ke daerah pedalamannya kerana ingin menemui ayahnya yang sudah lama tidak ditemuinya. Di rumahnya, Rimpa diberitahu oleh ibunya bahawa Ruzaini telah lari dari rumah seminggu sebelum Rimpa pulang. Mereka merumuskan bahawa Ruzaini mengikut pemuda yang berdakwah di kampung itu. Walaupun cutinya masih ada seminggu lagi, Rimpa berasa kesepian lalu dia mengambil keputusan untuk balik ke Kuala Lumpur dan sebelum itu dia ingin singgah di rumah Bang Maily selama dua atau tiga hari.
EMPAT BELAS
Rimpa berada di rumah Bang Maily selama beberapa hari kerana semua penerbangan ke Kuala Lumpur penuh akibat cuti Hari Krismas. Walaupun kuliah bermula pada 27 Disember 1994, tetapi Rimpa hanya boleh pulang ke Kuala Lumpur pada 29 Disember dengan pesawat jam 11.55 malam. Hal ini demikian kerana Rimpa tidak menempah tiket lebih awal. Pada hari hendak bertolak ke Kuala Lumpur, Bang Maily mengajak Rimpa menemaninya ke Papar kerana dia ada sedikit urusan. Bang Maily dan keluarganya menghantar Rimpa ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada malam itu. Sementara menunggu pesawat untuk berlepas, mereka ke tingkat dua untuk minum. Dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur, Rimpa hanya tidur sahaja sehingga berlaku air pocket dan dia tidak dapat melelapkan matanya sehingga tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Rimpa tidur di lapangan terbang itu sehingga Subuh. Sesudah sembahyang Subuh, dia menaiki bas Srivijaya ke Kuala Lumpur dan mengambil teksi ke ASK. Rimpa tiba di sana pada jam 10.00 pagi. Rimpa berharap dapat mengikuti kuliah Penulisan Skrip Radio, tetapi kuliah itu ditangguhkan. Di ASK, Rimpa berjumpa dengan kawan-kawannya semula dan dia diberitahu oleh Jasmin bahawa Ruzaini berada di kantin bersama-sama Azlina. Rimpa ke kantin untuk berjumpa mereka. Namun demikian, Ruzaini yang dikatakan menjadi jurutaip di Jabatan Penulisan Kreatif itu bukan sahabat Rimpa di Sabah. Di samping itu, Azlina juga memberitahu Rimpa bahawa dia tidak lagi memakai contact lense kerana dia elergik (sensitif) akibat terlalu banyak makan makanan laut semasa bercuti dahulu. Rimpa juga membayangkan bahawa perbelanjaan hidupnya akan meningkat apabila ASK dipindahkan ke bangunan di sebelah Matic yang berhampiran dengan KLCC. Dia terpaksa menyewa bilik lain yang harganya mungkin tinggi, tetapi semua masalah itu akan dihadapinya dengan bijaksana dan semangat juang.
|