Ng Ai Fen
SMK Methodist
Teacher
Senior Member
Fame: 4
Offline
Gender: 
Posts: 220
org malas mencari alasan org rajin penyelesaian!
|
 |
« on: May 09, 2008, 09:52:33 PM » |
|
CERPEN BERIKUT HASIL KARYA OTHMAN SABLI [SMK Tun Abg Hj Openg, Kuching] USOP CHEK [SMK Semera, Kota Samarahan] RAMBAI WAHIT [SMK Tree Rivers, Mukah] IRIWANTI SUHAILI [SMK Bandar Sarikei]
Kasih Tercipta
Pagi itu sungguh hening. Terasa hembusan sang bayu menyentuh kulit yang telanjang. Sesekali kedengaran nyanyian sang burung menyapa gegendang telinga. Dari sebuah rumah yang sederhana besarnya, kelihatan Dasila, seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an keluar dari pintu rumahnya sambil membawa bekas plastik. Derap kakinya perlahan menuju ke sudut halaman rumah. Di situ terletak sebuah sangkar indah yang dihuni oleh seekor ayam serama yang sungguh cantik. Bulunya berwarna-warni, lembut dan bersinar. Saiznya yang kecil menambah kecomelan yang pasti menyebabkan Dasila sangat menyayangi dan menyanjungnya sebagai penyeri hidup. Hubungan mereka ibarat isi dengan kuku. Tambahan pula, Dasila masih bujang dan tinggal sendirian. ”Inilah kekuasaan Allah. Manusia dan haiwan pun boleh berkompromi.” Omel Dasila. Dalam kelekaan memerhatikan hubungan dua makhluk Tuhan itu, Dasila tiba-tiba bangun seolah-olah mengamati satu suara tidak jauh dari rumahnya. Dasila menoleh ke kiri dan ke kanan bagi memastikan suara apakah yang didengarnya. Dasila tersentak apabila terpandang seekor kucing berjalan terhincut-hincut, comot dan sedikit berdarah di kakinya bergerak perlahan ke arahnya. ”Astaghafirullah, apa yang telah terjadi pada kucing ini? Comotnya engkau.” Suara Dasila terdengar perlahan. Tanpa berfikir panjang Dasila terus menghampiri kucing itu dan terus membawa kucing itu ke rumah dan meninggalkan ayam seramanya bersendirian di halaman rumah. Kelihatan ayam serama mencakar-cakar tanah biarpun makanan sudah tersedia di hadapannya. Suaranya juga agak berlainan berbanding hari-hari sebelumnya. Gelagat ayam serama seolah-olah memperlihatkan protesnya terhadap tingkah laku tuannya. Seketika kemudian, perhatian Dasila beralih kepada kucing yang baru dijumpainya. Mungkin keadaan kucing itu lebih memerlukannya. Namun, tanpa disedari oleh Dasila, di sudut hati ayam serama tersimpan satu perasaan cemburu. ”Nampaknya Dasila sudah tidak sayangkan aku lagi, dia sudah ada penggantiku. Perhatiannya sudah mula beralih arah pada si tempang tu.” Ujar ayam serama yang mulai berjauh hati. ”Cis, Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi!” Rungut ayam serama lagi. Bagi Dasila, sekelumitpun perasaan dan kasih sayangnya terhadap ayam serama tidak berubah dan masih sama seperti dulu. Mungkin kini dia terpaksa membahagikan masanya untuk kedua-dua haiwan tersebut lantaran kucing comot itu tercedera dan dia simpati yang teramat kepadanya. Malangnya ayam serama tidak dapat menerimanya. Suatu petang, kelihatan seekor ular sawa yang besar menyusur dan menyelinap masuk ke halaman rumah tanpa disedari oleh Dasila yang masih sibuk mengemas rumah. Menyedari kehadiran ular sawa berhampiran sangkarnya, ayam serama mula berketak untuk menarik perhatian tuannya. Malangnya, Dasila tidak mempedulikannya. Detik demi detik, ular sawa makin menghampiri ayam serama. ”Dasila! Tolong, habislah aku kali ini. Matilah aku dimakan ular sawa ini. Apalah dayaku untuk menyelamatkan diri.” Rintih ayam serama. Situasi itu disaksikan oleh kucing yang kebetulan berada di muka pintu rumah. ”Eh, kesiannya si ayam serama. Nampaknya si serama berada dalam kesusahan.” Bisik kucing comot. Tanpa berlengah dan memikirkan risiko yang bakal menantinya, kucing terus berlari ke arah ular sawa yang semakin menghampiri ayam serama biarpun kakinya belum pulih sepenuhnya. Kucing cuba menakut-nakut dan mengalih perhatian ular itu, namun tidak berjaya. Semakin lama suara kucing semakin kuat seolah-olah cuba memberi isyarat kepada tuannya tentang apa yang sedang berlaku. Suara kucing berjaya menarik perhatian Dasila yang masih sibuk di dalam rumah. Dalam keadaan tertanya-tanya, Dasila menuju ke pintu rumahnya. Alangkah terkejutnya Dasila apabila melihat ular sawa yang sudahpun mengangakan mulutnya seluas yang boleh untuk menelan ayam serama. ”Ya Allah!” Jerit Dasila kecemasan. Dasila lantas mencapai penyapu yang kebetulan berada di depan rumahnya. Tanpa berlengah dan takut, Dasila pantas menghalau ular tersebut. Seolah-olah memahami kehendak Dasila, ular itu terus beredar dari situ. Dasila melihat ular itu berlalu dengan perasaan yang lega tanpa perlu menyakitinya. ”Ular pun makhluk Allah juga, tak baik aku menyakitinya,” getus hatinya. Adegan cemas sudah berakhir. Namun di sudut hati ayam serama masih berkecamuk. Perasaan sedih dan bersalah bercampur baur dalam dirinya. Tanggapannya terhadap Dasila dan kucing tempang itu jauh tersasar. Dasila yang dianggapnya sudah tidak menyayanginya ternyata salah. Kucing jalanan yang dianggapnya perampas kebahagiaannya kini, menjadi wira yang telah menyelamatkan nyawanya. ”Aku sedar kini, segala tanggapan kita tidak semestinya benar.” Desis hati ayam serama. Di sudut hatinya tersimpan harapan agar hari-hari mendatang menjanjikan hubungan yang lebih mesra bukan sahaja bersama Dasila bahkan dengan kucing jalanan yang dianggapnya sebagai perampas kebahagiaan hidupnya dengan Dasila selama ini.
|