Home   Forum   Help Search Calendar Links Login Register   **
Welcome, Guest. Please login or register.
Did you miss your activation email?
May 25, 2012, 04:35:44 PM

Login with username, password and session length
Program
EduWebTVLatih TubiLINUSManaging Challenging SchoolsGerakan Memperkasakan SekolahLDPICTL SMICTL SRMalaysian Grid for Learning (MyGfL)ProtimPPSMISIP
Recent
[Today at 03:24:16 PM]

[Today at 11:36:49 AM]

[Today at 11:07:06 AM]

[Today at 07:56:42 AM]

[Yesterday at 11:56:50 PM]

[Yesterday at 10:23:08 PM]

[Yesterday at 08:34:38 PM]

[Yesterday at 05:51:30 PM]

[Yesterday at 11:53:44 AM]

[Yesterday at 09:14:15 AM]
 

Pages: [1]   Go Down
  Print  
Author Topic: kes juvenil (I)  (Read 1341 times)
0 Members and 1 Guest are viewing this topic.
Ng Ai Fen
SMK Wira Penrissen
Teacher
Senior Member
*

Fame: 4
Offline Offline

Gender: Female
Posts: 236


org malas mencari alasan org rajin penyelesaian!


« on: May 09, 2008, 10:26:17 PM »

KESALAHAN JUVENIL DALAM KALANGAN REMAJA
OLEH: NG AI FEN

1.0   Pendahuluan
   Selama 446 tahun negara kita telah dijajah oleh pelbagai pihak. Kini, terbuktilah pemilihan untuk mentadbir negara kita merupakan jalan terbaik untuk membentuk identiti bangsa dan warisan kita. Selama 50 tahun negara kita merdeka, pelbagai pembangunan telah dilancarkan untuk menggetarkan semangat anak watan agar terus berjuang demi negara terbilang di mata dunia. Wawasan 2020 merupakan misi yang digariskan pada zaman 90-an masih dalam proses perjalanan menuju ke medan dunia yang lebih teguh dan berdaya saing agar kita berupaya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju. Pelbagai pelan disusuri untuk memperlengkap matlamat 2020. Misalnya, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang baru dilancarkan pada awal tahun ini. Generasi muda merupakan inti pati yang paling penting dalam menongkah arus pembangunan yang penuh dengan cabaran. Pihak kerajaan telah merangka dan memperuntukkan berbilion ringgit untuk membentuk serta melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan berdiri teguh apabila berada di baris hadapan negara. Dukacitanya, usaha membangunkan modal insan dalam kalangan generasi muda hanya tinggal sebagai kertas cadangan yang menghiburkan sidang ahli parlimen. Persoalannya, kes jenayah yang melibatkan generasi muda bukan sekadar seekor atau dua ekor kambing. Tetapi, keterlibatan remaja  dalam kesalahan jenayah sungguh menggerunkan khalayak. Sekiranya negara kita telah digelar sebagai negara maju, apakah untungnya jikalau sistem sosial negara kita terumbang-ambing?
   Laporan yang disediakan ini berkaitan dengan golongan remaja atau juvenil yang terlibat dalam kesalahan jenayah. Juvenil(Kamus Dewan;2005) merujuk anak muda yang belum matang. Perbincangan isu ini mencakupi faktor-faktor pendorong golongan remaja terlibat dalam kesalahan jenayah. Selain itu, langkah-langkah meminimumkan keterlibatan juvenil dalam kesalahan jenayah juga dibincangkan dalam laporan ini

2.0 Permasalahan Juvenil dalam Kes Jenayah di Malaysia
   Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Maximus Ongkili dalam Berita Harian tanggal 25 Mac 2007 menjelaskan penglibatan remaja dalam kes jenayah perlu dikekang agar mereka tidak berdalih kepada jenayah tegar apabila dewasa. Beliau berkata, statistik membabitkan 18 kategori kesalahan yang menunjukkan jenayah pada 2006 meningkat 15.7 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala dua bulan pertama menunjukkan peningkatan 13 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Kes kesalahan Juvenil pula, terutama membabitkan pelajar sekolah, mencatatkan 4,798 kes manakala sejumlah 1,728 kes dicatatkan dalam tempoh dua bulan pertama 2007. Berdasarkan statistik yang dilakukan oleh Dr. Nasimah Hussein dalam Juvenile Delinquencies In Malaysia: Legal Provisions And Prospects For Reforms (2005), Jenayah yang dilakukan oleh juvenil boleh disenaraikan dalam pelbagai kategori, iaitu jenayah yang melibatkan harta benda, pergaduhan yang membawa kecederaan, kes rompakan, pecah rumah, jenayah yang melibatkan peralatan senjata berbahaya, kes rogol, ugutan yang melibatkan keganasan, corak kehidupan, penagihan dadah dan lain-lain. Statistik yang dinyatakan oleh Dr. Nasimah Hussein menunjukkan sebanyak 420 kes kesalahan juvenil pada setiap bulan dan 14 kes pada setiap hari. Menurut beliau, remaja yang terlibat dalam jenayah terdiri daripada remaja yang berumur daripada 7 tahun sehingga 18 tahun. Di samping itu, jantina lelaki mencatatkan jumlah kes yang lebih banyak daripada kes yang melibatkan jantina perempuan.
   Berdasarkan statistik yang dikumpul secara rambang, juvenil yang terlibat dalam kesalahan jenayah perlu diambil perhatian. Kumpulan juvenil inilah merupakan pemangkin pembangunan negara yang perlu dididik, dibimbing dan digilap agar  mereka berupaya membawa kesejahteraan sosial dan kemajuan negara.

3.0 Faktor-faktor Pendorong Juvenil Terlibat dalam Kesalahan Jenayah
   Menurut Mimi Ajzenstadt dalam Crime, Social Control, and the Process of Social Classification: Juvenile Delinquency/Justice Discourse in Israel, 1948-1970,  kesalahan jenayah dalam kalangan juvenil Israel dikaitkan dengan kasta sosial. Di Israel, kasta sosial boleh dibahagikan kepada tiga kelas, iaitu daripada gologan pertengahan Ashkenazi, golongan pendatang asing dan golongan bekerja yang terdiri daripada penduduk asal atau rakyat Arab. Pengendalian kes jenayah juvenil di Israel tidaklah semudah yang disangkakan kerana pelbagai faktor perlu ditelitikan untuk mencari punca  sebenarnya juvenil Israel terlibat dalam jenayah. Tidak kurang hebatnya di Malaysia, jenayah berat atau ringan yang dilakukan oleh juvenil juga perlu dikaji dengan teliti dalam pelbagai perspektif. Pelbagai pandangan sama ada daripada ahli politik, pensyarah, peguam, hakim, guru, ibu bapa ataupun pekerja biasa tentang kesalahan junvenil juga perlu diambil perhatian. Justeru, tidak hairanlah perdebatan demi perdebatan tentang isu keterlibatan juvenil dalam jenayah. Terdapat sesetengah berpendapat kasta sosial yang menyebabkan juvenil terlibat dalam masalah sosial. Namun demikian, terdapat juga sesetengah pihak yang menuduh ibu bapa merupakan golongan pencetus kemelut sosial dalam kalangan juvenil. Pelbagai pihak sedang sibuk mencari “kambing hitam” agar isu juvenil ini ditanggung dan diselesaikan olehnya. Soal tanggungjawab bersama-sama masih belum cukup membara dalam jiwa masing-masing. Permasalahan ini bukan berlaku di Israel sahaja tetapi senario ini juga berlaku di Malaysia. Tampaknya, budaya penyelenggaraan jiwa kekitaan belum berupaya menandingi budaya menuding. Sekiranya orang dewasa belum berupaya mengenal pasti akar masalah ini menjalar, sudah tentu masalah ini tetap menjadi isu polemik sama ada di dalam persidangan parlimen ataupun di warung-warung tepi jalan. Justeru, laporan ini telah menyenaraikan beberapa punca yang mendorong juvenil terlibat dalam jenayah sama ada berat atau ringan. Selain itu, isu ini juga dikupas berdasarkan tiga konsep sosiologi yang telah dipaparkan dalam artikel masalah sosial dalam kalangan remaja berpunca daripada hubungan ibu bapa dengan remaja; 2004

3.1  Institusi Keluarga
   Menurut Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Kamaruddin Mohd. Ali dalam Utusan Malaysia tanggal 28 Mac 2007 berkata, pengurusan keluarga merupakan elemen yang paling penting agar kehidupan ahli keluarga berada dalam keadaan selesa dan terurus. Mengikut tradisi nenek moyang, ibu memainkan peranan penting dalam pengurusan makan minum ahli keluarganya dan juga pembentukan sahsiah anak-anak mereka. Menurut Mimi Ajzenstadt;2000, ibu memainkan peranan penting meningkatkan pembangunan sahsiah anak mereka, pendidikan dan kesihatan.
   Ibu bapa sepatutnya membimbing dan mengasuh anaknya mengikut lunas-lunas nilai kemasyarakatan agar mereka dapat menyesuaikan diri bukan sahaja di rumah malahan di luar rumah. Kewajipan ibu bapa perlu dipersoalkan pada muktahir ini kerana kesibukan mereka dalam kerjaya telah mengabaikan tanggunjawab mereka menjaga, membimbing, mengasuh anak mereka mengikut acuan yang betul. Sekiranya kita meninjau corak kehidupan di bandar, tanggungjawab menjaga anak telah diserah kepada orang gaji atau orang tua keluarga mereka. Keupayaan mereka untuk mendidik dan mengawal anak-anak muda memang patut dipersoalkan. Kanak-kanak yang baru memasuki zaman peralihan akil baligh perlu mendapat pendedahan pelbagai informasi yang penting untuk mengenali diri mereka. Ibu bapa sebenarnya merupakan rujukan utama yang boleh membantu mereka mengetahui, memahami lebih banyak maklumat tentang perubahan diri mereka. Walau bagaimanapun, tempat rujukan ini bukan lagi menjadi pilihan utama untuk anak-anak muda mendapat pendedahan yang lebih banyak. Mereka rela mencari maklumat sama ada melalui sahabat handai, paparan cetak mahapun paparan elektronik. Pemahaman anak-anak muda terhadap sesuatu perkara bergantung keupayaan mereka mencari maklumat tersebut. Pada peringkat inilah merupakan titik peralihan anak-anak muda sama ada mereka berupaya melakukan penaakulan yang wajar ataupun tidak wajar terhadap sesuatu tindakan.
   Tanpa pengawasan dan bimbingan ibu bapa, sudah tentu anak-anak muda ini berani melakukan apa-apa sahaja walaupun salah di sisi undang-undang. Kesalahan jenayah yang dilakukan oleh juvenil bukan sekadar kes remeh-temeh tetapi sudah setanding dengan jenayah yang dilakukan oleh orang dewasa. Di manakah silapnya? Apabila masalah sudah berada pada tahap genting, ibu bapa merupakan oranglah yang akan dipersalahkan. Segala tindakan yang diambil oleh mereka kerana kejahilan mereka terhadap undang-undang. Oleh itu, betapa pentingnya peranan ibu bapa membimbing, menasihati dan menerangkan segala kemusykilan atau tindakan anak-anak mereka terhadap sesuatu perkara. Sekiranya usaha murni ini diabaikan, sudah tentu anak-anak mereka cuba berusaha mencari identiti sendiri dengan menggunakan pelbagai cara. Menurut Mimi Ajzenstadt; juvenil cuba ekspresif melalui kesalahan jenayah semata-mata untuk mencari identiti diri dalam masyarakat. Juvenil merupakan kanak-kanak yang belum matang dan tidak memahami undang-undang. Jadi, tidak hairanlah mereka berani mencuri, memeras ugut, bergaduh, mencederakan orang, merogol atau sehingga meragut nyawa seseorang. Kini, pelaku masalah sosial bukan sahaja terdiri daripada orang dewasa tetapi anak-anak muda bertubuh kecil sudah berupaya mencium bau neraka. Budak yang belasan tahun sudah berupaya bertindak ganas meragut nyawa orang yang lemah.
   Kelalaian ibu bapa kerana kesibukan bekerja, pengurusan keluaraga yang tidak cekap, ibu tunggal, bapa tunggal, penceraian ibu bapa, latar belakang ekonomi keluarga merupakan elemen-elemen yang berupaya menggugat dan menggoyahkan institusi keluarga. Apabila institusi keluarga tidak berupaya berdiri teguh, sudah tentu ahli keluarganya mempunyai jati diri yang rapuh. “Rumahku Syugarku” mungkin bertukar wajah menjadi “Rumahku Nerakaku” jika suasana keluarga tidak sihat terus meruncing. Mereka tidak dapat mencapai ketenteraman jiwa dan belaian kasih sayang daripada ibu bapa kerana institusi keluarga yang goyah.

3.2 Pengaruh Budaya Luar Mencorakkan Pemikiran Juvenil
   Menurut Mimi Ajzenstadt;2000, juvenil di Israel yang terlibat dalam kesalahan jenayah dikaitkan rapat dengan perpindahan bangsa lain dari satu tempat ke Israel. Bangsa lain bukan sahaja berpindah ke Israel malahan fahaman, budaya dan corak kehidupan juga terbawa-bawa ke Israel. Pengaruh mereka secara tidak langsung telah mengubah sistem sosial Israel sehingga corak kehidupan masyarakat juga terpengaruh. Kerajaan Israel khuatir akan gologan muda dari Yahudi membawa konflik dari negara asal mereka, jati diri mereka yang lemah, kejelikan moral sehingga menyebabkan sistem sosial komuniti di Israel tidak terurus dan terancam. Jadi, kanak-kanak atau remaja Israel merupakan golongan yang mudah dipengaruhi sehingga mereka terdorong melakukan kesalahan jenayah.  Senario ini juga dapat diperhatikan di Malaysia, kanak-kanak atau remaja juga mudah terpengaruh oleh budaya luar sama ada dibawa masuk melalui pendatang asing ataupun media massa. Konsep dunia tanpa sempadan dan dasar langit terbuka telah memberi kebebasan kepada sesiapa untuk mendapat maklumat dalam pelbagai bentuk. Justeru, propaganda sama ada membawa konatasi positif atau negatif juga tidak dapat dikawal oleh sesiapa. Pengaruh teknologi dan komunikasi (TMK) sememangnya hebat memaparkan persekitaran, budaya, nilai dan amalan dari luar. Program atau rancangan televisyen disalurkan melalui wadah media elektronik tidak menitikberatkan sistem nilai dan budaya masyarakat di negara ini. Media cetak di negara ini juga dilambakkan dengan pelbagai bacaan yang bersifat hiburan, sensasi, tahayul ataupun erotik. Namun demikian, jati diri modal insan negara kita belum berupaya menghadapi pengaruh dari luar.
   Justeru, propaganda sama ada membawa konatasi positif atau negatif juga tidak dapat dikawal oleh sesiapa. Kanak-kanak yang belum cukup matang fikiran untuk menilai sesuatu sama ada baik atau buruk sesuatu perkara nescaya dipengaruhi oleh ledakan maklumat yang cukup beraneka ragam. Budaya dari luar seperti ‘skinhead’, ‘black metal’, ‘pink metal’ dan ‘Gothik’ telah menyelinap ke dalam budaya negara kita. Anak-anak muda yang berpegang paksi keseronokan, keunikan dan keistimewaan sudah tentu menerima budaya tersebut secara bulat-bulat. Keadaan ini jelas kelihatan anak-anak muda yang belasan tahun beraksi dengan pakaian yang cukup mencabar norma hidup masyarakat timur. Rukun atau lunas yang terdapat dalam nilai-nilai ketimuran diketepikan kononnya untuk mengejar kehidupan yang moden. Mereka suka membentuk kumpulan dan berpakaian yang direka khas untuk mereka berarak-arakan di pasar raya atau tempat tumpuan orang ramai. Mereka suka mencelak wajah mereka sehingga kelihatan bergaya, ganas, bengis atau unik. Selain itu, mereka juga mengganggu ketenteram awam dengan melakukan pelbagai aksi yang tidak senonoh. Paling menyedihkan masyarakat kita ialah anak-anak muda ini bertindak liar sehingga memeningkan masyarakat. Mereka mengambil minuman keras, mencuri, menceroboh, berlumba, memandu kenderaan tanpa lesan, menghisap dadah, menghisap gam dan melakukan seks secara rambang. Tidak kurang juga kesalahan yang melibatkan kes jenayah berat seperti merogol dan membunuh.  Jadi, kanak-kanak yang belum cukup matang atau remaja merupakan mangsa akibat pengaruh budaya luar yang membawa konotasi negatif. Kumpulan ini tidak pandai membawa diri dalam perubahan budaya yang melanda.  Semasa Majlis Pelancaran Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2001 di Shah Alam, Perdana Menteri menyatakan kekesalan beliau terhadap sebilangan remaja menyembah syaitan ‘black metal’. Remaja tersebut memakai tudung dan berjubah serta memakai salib yang diterbalikkan.
   Pendatang asing sama ada secara sah atau tanpa izin juga sedikit banyak menggugat sistem sosial negara kita. Aktiviti pelacuran, kes mencuri, membunuh, menyamun, memeras ugut dan pergaduhan merupakan perbuatan yang sering dikaitkan dengan pendatang asing. Kelonggaran penguatkuasaan undang-undang dan kedudukan fizikal negara kita telah memberi peluang kepada pendatang asing bertindak liar dan ganas. Modus operandi mereka sukar dikesan kerana bentuk geografi negara kita memudahkan mereka melarikan diri sama ada melalui jalan laut ataupun denai di hutan. Walaupun tidak mempunyai bukti yang sahih menunjukkan hubungan antara sebab dan akibat masalah ini, tetapi kegiatan mereka yang sukar ditumpas telah memberi satu ikon kepada anak-anak muda bahawa terdapat “pintu belakang” untuk menyelamatkan diri setelah melakukan kesalahan. Anak-anak muda sudah memberanikan diri untuk melakukan jenayah esktrem seperti membunuh, merogol dan menyamun.

3.3 Sistem Pendidikan Negara Kita Yang Berorientasikan Peperiksaan
   Peranan sekolah sebagai agen perubahan sosial sama ada secara formal ataupun informal sangatlah nyata. Kurikulum sekolah Malaysia telah disesuaikan dengan masyarakat makro dengan mengambil kira peranan sekolah sebagai kawalan sosial. Sepatutnya para pelajar didedahkan dengan perlakuan-perlakuan yang baik melalui penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran. Selain itu, para pelajar yang berada di sekolah juga tertakluk kepada peraturan-peraturan atau disiplin yang telah ditentukan oleh pihak sekolah. Pujian akan diberikan kepada mereka yang mematuhi peraturan. Teguran dan hukuman seperti dirotan, digantung, atau dibuang sekolah akan diberikan kepada pelajar-pelajar yang melanggar peraturan. Namun demikian, penetapan iklim sekolah oleh pihak sekolah tidak semestinya diterima oleh pelajar. Terutamanya pihak pentadbir sekolah yang terlalu mementingkan pencapaian akademik sehingga mengabaikan pembentukan sahsiah pelajar. Oleh itu, kesalahan jenayah dalam kalangan juvenil juga perlu dilihat dari aspek pendidikan yang ada di negara kita. Memang tidak dapat dinafikan kecemerlangan pencapaian seseorang pelajar dinilai melalui ujian kertas bertulis.
Masyarakat telah menetapkan indikator bahawa pelajar itu baik atau cemerlang sekiranya pelajar tersebut mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Senario ini jelas terbukti bahawa pencapaian akademik dititikberatkan manakala pembangunan sahsiah pelajar telah dianaktirikan.  Justeru, tidaklah hairan sekiranya murid-murid atau pelajar-pelajar yang tidak tahan tekanan peperiksaan sudah tentu akan mengambil jalan singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat sebagai jalan keluar daripada permasalahan.
   Pada permulaannya mereka akan melakukan kesalahan melanggar peraturan sekolah dan lama-kelamaan mereka akan melakukan perbutan yang esktrem yang melanggar undang-undang. Sistem pendidikan negara kita yang bercorak peperiksaan telah memberi tekanan yang mendalam kepada mereka yang lemah atau tercicir dalam pelajaran. Keadaan ini bertambah serius apabila kelemahan pelajar diabaikan oleh guru ataupun pihak sekolah. Mereka akan mula melakukan perbuatan yang boleh menarik perhatian guru dan pihak sekolah. Kesalahan yang biasa dilakukan oleh mereka di sekolah ialah ponteng sekolah, buli rakan yang lemah, memeras ugut, menghisap rokok, gam dan bergaduh. Akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 25 Ogos 2000 melaporkan bahawa sepuluh pelajar ditahan dalam serbuan polis yang disyaki ponteng dan menghidu gam.
   Sekiranya diteliti faktor-faktor pencetus pelajar melanggar yang peraturan sekolah, didapati mereka kurang berminat untuk belajar, tiada motivasi untuk ke sekolah, tiada kesedaran terhadap kepentingan pendidikan, pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat membeli belah, melayari internet di kafe siber dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya.

3.4 Pengaruh Rakan Sebaya
   Remaja yang terbiar dan ketandusan kasih sayang akan mencari rakan sebaya untuk memenuhi kekurangan ini. Mereka berkumpul dan mencari hiburan di pusat membeli-belah, pusat hiburan dan paling malang apabila mereka membentuk kumpulan untuk melakukan jenayah. Infrastruktur, perkhidmatan awam dan sistem telekomunikasi yang berkesan dan maju telah disalahgunakan oleh remaja kita.  Peranan rakan sebaya turut menyumbang kepada berlakunya gejala sosial terutamanya kepada pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan yang mengalami masalah keluarga. Rakan-rakan dapat mencorak personaliti invidivu tertentu. Sekiranya mereka berkawan dengan rakan yang nakal dan samseng, sudah tentu mereka terpengaruh atau terikut-ikut tindak-tanduk mereka.
    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan (Akhbar Berita Harian bertarikh 13 Januari 2006) bahawa siasatan polis mendapati remaja sama ada masih menuntut atau lepasan sekolah kini menjadi sasaran kumpulan penjenayah. Kumpulan penjenayah akan membuat perancangan yang rapi untuk merekrut sasaran mereka. Mereka akan mendekati remaja yang sering berkeliaran di pusat membeli belah, pusat hiburan dan kafe siber. Pada mulanya mereka memegang watak sebagai kenalan baru. Kumpulan penjenayah akan memasang perangkap untuk mempengaruhi mereka melakukan jenayah tanpa disedari. Kemudian, remaja tersebut diajak membabitkan diri dalam penagihan dadah, menganggotai kumpulan samseng atau diugut supaya membayar wang perlindungan. Selepas melakukan kesalahan itu, penjenayah mengugut mangsa supaya menyertai kumpulan mereka. Jika enggan, penjenayah akan memberitahu keluarga mereka atau melapor kepada pihak polis. Jadi, remaja yang takut akan menyertai kumpulan penjenayah.


sambungan...
Logged

Ng Ai Fen
SMK Wira Penrissen
Ng Ai Fen
SMK Wira Penrissen
Teacher
Senior Member
*

Fame: 4
Offline Offline

Gender: Female
Posts: 236


org malas mencari alasan org rajin penyelesaian!


« Reply #1 on: May 09, 2008, 10:29:03 PM »

4.0 Langkah-langkah Meminimumkan Kesalahan Jenayah Dalam Kalangan Juvenil   
   Kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Juvenil perlu dibanteras dengan segera agar masalah ini tidak menjadi batu penghalang kepada negara kita yang sedang membangunkan negara secara progresif. Sekiranya masalah ini diabaikan, tiada gunanya membicarakan persoalan masyarakat madani sekiranya masalah moral dan sosial masih belum ditangani. Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat  Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru semua pihak berganding bahu untuk membendung masalah ini agar masa depan anak-anak muda negara kita bebas daripada kegiatan jenayah. Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2001 di Shah Alam pada 5 Ogos 2001.  Pelbagai langkah yang proaktif dan komprehensif perlu diorak olah agen sosial untuk menangani masalah sosial yang dilakukan oleh Juvenil.

4.1  Peranan  Institusi Keluarga
   Dr. Nasimah Hussin dalam artikelnya, Juvenile Delinquencies in Malaysia: Legal Provisions and Prospects For Reform;2005 menjelaskan kesalahan juvenil perlu diteliti daripada aspek pemikiran, tingkah laku, kesalahan yang dilakukan sama ada berada dalam keadaan sedar atau tidak. Pengetahuan mereka tentang undang-undang juga amat penting agar hukuman yang diputuskan oleh mahkamah memberi kesedaran kepada mereka. Kanak-kanak atau remaja sepatutnya dibimbing, diberi tunjuk ajar dan diberi pendedahan terhadap setiap tingkah laku yang dilakukan. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada anak-anak mereka agar mereka tidak tersilap langkah. Menurut Mimi Ajzenstadt;2000, kerajaan Israel menyeru ibu bapa meluangkan lebih banyak masa untuk membimbing anak-anak mereka agar mereka tidak terlibat dalam kesalahan jenayah. Senario ini telah memberi gambaran kepada kita bahawa ibu bapa merupakan agen sosial yang paling penting untuk mengurangkan keterlibatan anak-anak muda dalam kesalahan jenayah. Sekiranya ibu bapa tidak menunjukkan teladan yang baik sudah anak-anak mereka akan menjejaki langkah-langkah mereka. Misalnya, keluarga yang porak-peranda sudah tentu mengganggu ketenteraman jiwa anak-anak mereka. Kemungkinan mereka bertindak ganas untuk membuli golongan lemah semata-mata ingin melepaskan geram yang terpendam. 

   Pendidikan tentang pengurusan keluarga perlu diwajibkan kepada semua pasangan baru yang bercadang mendirikan keluarga. Selama ini, hanya agama Kristian dan agama Islam yang mewajibkan penganutnya menghadiri kursus perkahwinan. Usaha murni ini amat diperlukan agar sistem keluarga sebagai institusi asas masyarakat terus dikukuhkan.  Pendidikan tentang pengurusan keluarga amat penting untuk mendidik dan mendedahkan kemahiran ibu bapa mengurus hubungan ahli keluarga mereka termasuk teknik berkomunikasi antara ahli keluarga. Hubungan keluarga yang intim sudah tentu dapat menyediakan iklim keluarga yang bahagia. Kanak-kanak yang hidup dalam keluarga bahagia sudah tentu dapat mengelakkan keterlibatan mereka dalam kesalahan jenayah.  Ibu bapa perlu menyedari konsep “bahagia” bukan disuntik daripada aspek “kebendaan” tetapi aspek nilai-nilai murni yang kaya dengan sopan santun, tali persaudaraan dan nilai-nilai keagamaan yang teguh.

4.2 Peranan Sekolah Mengurangkan Pelajar Terlibat dalam Kesalahan Jenayah
   Menurut Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Kamaruddin Mohd. Ali dalam Utusan Malaysia tanggal 28 Mac 2007 berkata, penghantaran memo kepada ibu bapa mana-mana pelajar yang melakukan jenayah kecil dan melanggar peraturan jalan raya perlu dilakukan.  Penghantaran memo itu dibuat bertujuan supaya ibu bapa boleh menasihati dan mengawal anak mereka daripada terus melakukan salah laku tersebut.  Beliau menegaskan semua kesalahan kecil yang dilakukan oleh pelajar harus dihukum. Kesalahan mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Oleh itu, guru sekurang-kurangnya boleh mengambil tindakan seperti memberi amaran, mengeluarkan saman dan menghantar memo kepada ibu bapa pelajar. Usaha ini amat diperlukan kerana para pelajar kini bukan sahaja melanggar peraturan sekolah malahan melakukan jenayah seperti mencuri, melanggar peraturan jalan raya dan mencederakan orang lain.

   Peranan sekolah sebagai agen perubahan sosial memainkan peranan penting untuk memberi pendedahan tentang tentang kesalahan dan hukuman akibat kelakuan jenayah. Oleh itu, penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah merupakan salah satu insiatif yang baik untuk memberi pendedahan tentang cara-cara sesuatu jenayah boleh berlaku dan langkah-langkah menghindarinya. Kelab Pencegahan Jenayah ini diperkenalkan sejak 1999.  Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Kamarudin Mohd. Ali(Berita Harian; 15 November 2006) menggalakkan pelajar menyertai Kelab Pencegahan Jenayah. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.
   
   ‘Sekolah mesra pelajar’ juga perlu diwujudkan agar para pelajar tidak berasa tertekan apabila di kawasan sekolah. Suasana sekolah yang konduksif, corak pengajaran dan pembelajaran mesti bersesuaian dengan peredaran semasa dan keperluan pelajar. Sistem pendidikan di sekolah perlu menitikberatkan keseimbangan antara pencapaian akademik dengan pengurusan emosi. 
   
   Pelbagai program motivasi boleh diadakan untuk membantu dan membimbing pelajar mengenali diri sendiri, cara-cara belajar yang berkesan, pergaulan yang sihat dan sesi kaunseling. Kaunselor sekolah perlu peka terhadap budaya sekolah dan sering meninjau keadaan sekolah, budaya sekolah dan keadaan pelajar. Kajian dan penyelidikan perlu kerap dilakukan agar hasil yang dilakukan dapat membantu pentadbir sekolah mengetahui perkembangan sahsiah pelajar dan keperluan pelajar.
   
   Program pemulihan dan pengayaan seperti PROBIM yang akan dilaksanakan di sekolah Menengah pada tahun 2008 merupakan usaha yang baik untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan Matematik. Program ini bertujuan membantu pelajar sekolah menengah yang tidak berupaya menguasai kemahiran membaca, kemahiran menulis dan kemahiran mengira. Dengan adanya program ini, pelajar yang tercicir dalam kelas dapat diberi peluang belajar dari asas. Keciciran pelajar ini akan diasingkan dan dimasukkan dalam kelas yang mempunyai kelemahan yang sama. Jadi, teknik pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian diterapkan untuk membantu mereka menguasai kemahiran-kemahiran tersebut.

   Program tersebut dalam mengubah iklm sekolah dan mengurangkan peratusan keterlibatan pelajar yang terlibat dalam kesalahan jenayah. Jika berdasarkan iklim sekolah dahulu, pelajar yang bermasalah selalu menimbulkan gangguan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Mereka suka mengganggu pelajar lain atau melakukan aksi-aksi yang ekstrem semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai. Keterlanjuran perbuatan tersebut menyebabkan mereka semakin berani mencabar guru atau pihak pentadbir. Jadi, tidaklah hairanlah terdapat pelajar yang sanggup membakar rumah pengetua ataupun berlawan dengan guru. Jadi, guru boleh membendung masalah ini sekirannya guru perlu cukup prihatin terhadap pelajarnya. Tugas guru sebagai pengajar bukan sekadar menghabiskan sukatan pelajaran  tetapi pembentukan sahsiah pelajar juga perlu dilakukan.

4.3 Peranan Yayasan Pencegah Jenayah Malaysia (MCPF)   
   Akhbar Berita Harian tanggal 25 Mac 2007 memaparkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan merangka pelan bertindak khusus membanteras jenayah membabitkan juvenil dan kes pecah rumah yang menunjukkan peningkatan paling tinggi antara lapan belas jenis jenayah.  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Maximus Ongkili menjelaskan MCPF membuat ketetapan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan peranan mereka dalam usaha membanteras jenayah seperti pecah rumah yang mencatatkan peningkatan 22 peratus pada tahun ini.

   Yayasan ini telah memperuntukkan dana RM50,000 bagi merangka program khusus membanters kes junvenil mulai tahun 2008, terutama membabitkan pelajar. Usaha ini untuk memastikan mereka tidak berdalih kepada jenayah tegar apabila dewasa. MCPF akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memupuk kesedaran masyarakat untuk memerangi jenayah.

   MCPF juga bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerangi jenayah dalam kalangan juvenil. Akhbar Berita Harian tanggal 13 Januari 2006, telah melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama MCPF dan KBU International College melancarkan kempen memerangi jenayah pada peringkat institusi pendidikan. Sebanyak 10,000 buku tentang pencegahan jenayah yang dicetak oleh MCPF dan KBU International College telah diedarkan kepada orang ramai, sekolah dan pusat pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang.

   Pengerusi MCPF, Datuk Dr. Maximus Ongkili juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersetuju membina lebih banyak pusat pemulihan dadah yang berkonsepkan pulang ke pangkuan masyarakat

5.0 Penutup
   Gologan remaja merupakan waris yang akan menentukan hala tuju masa depan negara kita. Mereka akan memegang tampuk pentadbiran, penggerak ekonomi dan pembangunan bangsa. Justeru, pihak kerajaan telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang berlandaskan enam teras strategik pada tahun ini semata-mata membangunkan bangsa Malaysia. Pihak berhasrat membangunkan modal insan negara kita berdasarkan strategik yang telah dirancang agar anak watan yang dihasilkan berdaya saing apabila berhadapan di dunia luar.  Namun demikian, pada waktu yang sama kita dibebani dengan pelbagai salah laku juvenil yang sering terpapar bukan sahaja dalam ruangan media elektronik malahan media cetak telah merencatkan proses pembangunan nusa dan bangsa.  Sekiranya kemelut ini semakin runcing, kestabilan negara dan ketenteraman awam akan tergugat.
 
   Tindakan untuk mengawal masalah sosial ini sudah sampai ke tahap yang dianggap terdesak. Walaupun sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak tentang sikap dan tingkah laku pelajar dan remaja tetapi kajian tersebut lebih bersifat tujuan akademik. Kebiasaannya, kajian tersebut berkaitan punca masalah yang bersifat umum sahaja. Laporan yang saya sediakan bukan seratus peratus kesalahan juvenil disebabkan faktor-faktor yang disenaraikan. Akan tetapi, punca yang mencetuskan masalah tersebut terlalu banyak sehingga tindakan untuk membendung masalah sosial ini tidak lagi berfokus.

   Walaupun terdapat cadangan tentang cara-cara mengatasi masalah sosial, tetapi kebanyakan cadangan tersebut hanya berakhir di meja perbincangan, forum atau seminar. Sememangnya terdapat pelbagai program yang dirangka untuk remaja dan pelajar tetapi usaha tersebut hanya memberi manfaat kepada segelintir mereka sahaja dan lebih bersifat komersial. Ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam usaha memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan para pelajar. Sebagai masyarakat mikro, sekolah sepatutnya mempunyai ciri-ciri yang ada dalam masyarakat makro.  Oleh itu, pelajar didedahkan akan kesan buruk dalam masyarakat melalui interaksi mereka di sekolah adalah wajar. Kerajaan telah melancarakan pelbagai kempen yang menyelulurh untuk menyedarkan remaja dan pelajar supaya menghindarkan diri daripada gejala-gejala buruk yang boleh merosakkan diri dan nama baik keluarga mereka. Golongan ini perlu didedahkan dengan pengetahuan undang-undang agar mereka serik akan hukuman yang bakal dikenakan sekiranya didapati bersalah.  Oleh itu, kesalahan jenayah yang dilakukan oleh juvenil dapat dikurangkan.


RUJUKAN

Farah Nini Dusuki, 2006. Implementation of Article 12 in Juvenile Justice System in
   Malaysia. International Islamic University Malaysia.

Nasimah Hussin, 2005.  Juvenile Delinquencies in Malaysia: Legal Provisions and
   Prospect for Reforms.

Mimi Ajzenstadt, 2000. Crime, Social Control, and the Process of Social Classification:
   Juvenile Delinquency/Justice Discourse in Israel, 1948-1970. Hebrew University       Jerusalem

Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, 2007.  The child act: Section 97(2) is still valid.
   Kuala Lumpur.


Logged
Pages: [1]   Go Up
  Print  
 
Jump to:  

Members
Total Members: 21283
Latest: apparnesadoUM
Stats
Total Posts: 254486
Total Topics: 21168
Online Today: 302
Online Ever: 718
(May 16, 2012, 08:58:21 PM)
Users Online
Users: 9
Guests: 270
Total: 279
PIPPBahagian Pembangunan Kurikulume-Paymente-Hasil
Powered by MySQL Powered by PHP Powered by SMF 1.1.16 | SMF © 2011, Simple Machines | Sitemap Valid XHTML 1.0! Valid CSS!
Page created in 0.103 seconds with 27 queries.