Berikut merupakan artikel yang ringkas untuk bacaan pelajar semasa menulis karangan bahagian A tentang pembantu rumah asing.....selamat mencuba.....

ARKIB : 21/06/2009
Indonesia sengaja memperbesarrkan isu dera
Oleh Ku Seman Ku Hussain
SELEPAS negara ini menerima 1.2 juta pekerja berdaftar dari Indonesia dan dianggarkan hampir sejuta pendatang tanpa izin, Indonesia mengugut membekukan penghantaran pembantu rumah ke sini. Ugutan itu dilihat kesinambungan daripada “prihatin” Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang menelefon Siti Hajar di Kuala Lumpur yang mendakwa dizalimi majikannya baru-baru ini.
Mengikut statistik, sebanyak 256,097 pembantu rumah asing bekerja di negara ini, 93 peratus adalah dari Indonesia dan selebihnya dari negara lain seperti Filipina dan Sri Lanka.
************************************************************************
PEMBANTU RUMAH INDONESIA DI MALAYSIA
1.Berdasarkan Garis Panduan Pengambilan Pembantu Rumah Asing (PRA) yang dikeluarkan oleh Imigresen Malaysia telah ditetapkan bahawa pengambilan PRA yang diluluskan oleh kerajaan Malaysia adalah terdiri daripada warganegara Indonesia, Thailand, Kemboja, Filipina dan Sri Lanka.
2.Tetapi sebahagian besar pembantu rumah asing (PRA) yang ada di Malaysia pada ketika ini datang dari Indonesia dan Filipina dan hanya sebahagian kecil datang dari Thailand, Kemboja dan Sri Lanka. Mereka ini sudah terbiasa dikenali sebagai “orang gaji”, “amah” dan “pembantu rumah” (Harian Metro, 19 September 2006) Akta Kerja 1955 (Seksyen 2) mendefinisikan pembantu rumah atau pekerja domestik adalah sebagai berikut:
3.“Seseorang yang diambil bekerja berhubung dengan kerja dalam rumah kediaman dan tidak berkaitan dengan mana-mana tred, perniagaan atau profesion yang dijalankan oleh majikan dalam rumah kediaman tersebut dan termasuk tukang masak, pembantu rumah, butler, penjaga anak, valet, footman, tukang kebun, pencuci, jaga, groom, pemandu atau pencuci kenderaan berlesen untuk kegunaan persendirian”.
Profil Pembantu Rumah Indonesia di Malaysia
1. Pekerjaan sebagai pembantu rumah dalam kalangan pendatang Indonesia secara tidak rasmi telah dikesan pada penghujung tahun 1980-an. Pada awalnya, mereka hanya bekerja sebagai pembantu rumah sambilan sahaja.
2. Sebahagian besar adalah isteri kepada pendatang Indonesia yang bekerja di dalam sektor pembinaan di bandar (Dorall, 1989:312) Mereka menetap di sekitar kampung-kampung Melayu wilayah Lembah Kelang. Menurut Azizah kassim (1987:1986:30) terdapat sepuluh kampung Melayu di Bandar raya Kuala Lumpur yang telah menjadi petempatan pendatang Indonesia pada tahun 1980-an.
3. Menurut mereka pengambilan pembantu rumah sebagai alternatif untuk menjaga anak-anak, mengurus kediaman, dan kerja-kerja rumah tangga ketika suami isteri pergi bekerja.
4.Memang sudah terpola satu kebiasaan bahawa pembantu rumah dari Indonesia, Thailand atau kemboja yang beragama Islam akan bekerja dengan majikan orang Melayu. faktor agama, bahasa dan budaya yang hampir sama akan lebih mendekatkan perhubungan antara majikan dan pekerja tersebut. Sekurang-kurangnya beberapa persamaan ini akan mengurangkan jurang antara hubungan majikan dan pembantu rumah sehingga akan mengurangkan juga kesalahfahaman yang akan terjadi diantara majikan dan pembantu rumah.
5.Pola tersebut semakin hari ternyata juga turut berubah. Menurut Dato’ Raja Zulkiflie Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) mendakwa hampir sebahagian besar atau lebih daripada 70 peratus daripada seluruh pembantu rumah daripada Indonesia di Malaysia pada ketika ini bekerja dengan orang bukan Islam khususnya majikan berbangsa Cina.
6.Sebagai contoh kos pengambilan pembantu rumah Indonesia melalui syarikat agensi pembantu rumah asing telah ditetapkan dalam MoU 2006 yang mengharuskan majikan membayar RM 2,415.00 termasuk kos pengangkutan, pembayaran levy, visa masuk semula, permit kerja, kos pemprosesan dan kos pemeriksaan kembali kesihatan setelah sebulan PRT sampai di negara ini. Sementara kos pembayaran visa di kedutaan Malaysia, paspot, pemeriksaan kesihatan, pengangkutan di Indonesia, kemudahan perumahan atau kediaman, dan bayaran agensi dibayar oleh calon pembantu rumah sebesar Rp 3.070.000 (RM 1,250.00).
7. Sedangkan untuk mendapatkan perkhidmatan pembantu Filipina majikan perlu membayar sampai dua kali ganda daripada jumlah tersebut yang kadangkala mencecah hampir RM 5,200.00. Manakala dari segi pembayaran gaji pembantu rumah dari Indonesia pada amnya hanya dibayar dalam lingkungan antara RM 350.00 hingga RM 400.00 sebulan sedangkan pembantu daripada Filipina dibayar gaji RM 700.00 sebulan atau hampir dua kali ganda daripada pembantu rumah Indonesia. Disamping itu, Garis Panduan Pengambilan Pembantu Rumah Asing (PRA) juga menetapkan syarat pendapatan majikan untuk mengambil pembantu rumah daripada Indonesia adalah RM 3, 000/bulan. Syarat pendapatan majikan tersebut lebih rendah berbanding syarat pengambilan pembantu rumah Filipina yang mengharuskan majikan mempunyai pendapatan RM 5,000.00 sebulan. Faktor kos pengambilan, bayaran gaji dan persyaratan pendapatan yang tinggi dikenakan kepada pembantu rumah dari Filipina membuat majikan di Malaysia termasuk juga orang Cina lebih suka memilih pembantu rumah dari Indonesia.
8.Pada masa yang sama terdapat juga faktor pertembungan sosio-budaya khususnya antara majikan bukan Melayu dengan pembantu rumah Filipina. Sungguhpun kedua-duanya tidak beragama Islam tetapi terdapat faktor budaya dan persekitaran yang membuat jurang hubungan majikan bukan Melayu dan pembantu rumah Filipina semakin tidak serasi. Menurut Tharan (1989) pembantu rumah Filipina yang bekerja dengan majikan bukan Melayu sering tidak berasa gembira dengan pekerjaan yang diperolehinya. Ketidaksenangan yang dialami oleh pembantu rumah Filipina ini disebabkan sukarnya untuk beradaptasi kepada dunia baru di Malaysia dan akhirnya menghadapi berbagai tekanan atau masalah sosio-budaya. Berbagai persoalan seperti bahasa, jenis makanan, kebiasaan sehari-hari dan agama yang berbeza dengan majikan Cina atau India membuat adaptasi dan komunikasi semakin tidak lancar.
9.Beberapa faktor di atas secara langsung telah menjadikan pembantu rumah Indonesia mendominasi pekerjaan pembantu rumah asing di Malaysia. Sehingga 31 Disember 2006, daripada 310, 661 jumlah pembantu rumah asing yang bekerja di Malaysia, terdapat 294,115 adalah pembantu rumah Indonesia Dalam erti kata lain hanya 16,546 orang adalah pembantu rumah asing yang lain termasuklah pembantu rumah Filipina, Thailand, Kamboja, Sri Lanka dan lain-lain negara seperti yang dipaparkan dalam Jadual 1.
Jadual 1. Statistik Pembantu Rumah Asing Mengikut
Warganegara Sehingga 31 Disember 2006
No Warganegara Jumlah
01 Australia 1
02 Bangladesh 12
03 China 13
04 Ethopia 2
05 Fiji 1
06 Filipina 10,184
07 India 72
08 Indonesia 294,115
09 Moroco 1
10 Myanmar 23
11 Nepal 22
12 Pakistan 1
13 Rusia 1
14 Sri Lanka 810
15 Thailand 432
16 Vietnam 4
Jumlah 310,661
Sumber: Bahagian Buruh Asing, Jabatan Imigresen Malaysia
Mengapakah Pembantu Rumah Indonesia Perlu Dilindungi ?
1.Bagi pemerintah Indonesia, sebenarnya dua faktor utama sebab-sebab pembantu rumah ataupun TKI harus dilindungi. Pertama, disebabkan TKI menyumbang tukaran mata wang asing yang besar untuk negara Indonesia melalui pengiriman wang ke daerah asal di Indonesia
2.Manakala faktor yang kedua, timbul sorotan meluas tentang pembantu rumah dari Indonesia yang telah mengalami berbagai masalah pribadi dan penderaan dari majikan dan agensi di Malaysia. Sedangkan bagi Kerajaan Malaysia persetujuan untuk melindungi pembantu rumah Indonesia disebabkan munculnya sorotan badan antarabangsa seperti Bangsa-bangsa Bersatu dan Badan bukan kerajaan (NGO) antrabangsa seperti Human Rights Watch (HRW) yang dibimbangkan akan menjadikan isu pembantu rumah yang teraniaya sebagai satu alasan untuk menekan atau memberhentikan bantuan kewangan dan kemudahan sosial termasuk pendidikan kepada pemerintahan Malaysia.
3.Di samping itu, permasalahan yang ditimbulkan oleh pembantu rumah dari Indonesia juga menambah pekerjaan dan perbelanjaan kerajaan kerana terpaksa menyediakan tempat penampungan, makanan dan petugas untuk mengawal tahanan yang bermasalah di penjara atau di depot penampungan seperti di Semenyih dan Melaka.
Penyumbang tukaran mata wang asing
1. Tidak dapat dinafikan bahawa TKI memberikan sumbangan besar kepada sumber penerimaan tukaran mata wang asing negara Indonesia. Ini kerana kiriman wang (remittance) yang dilakukan TKI ke Indonesia dalam mata uang asing akan tertulis sebagai penerimaan mata wang asing kepada negara. Ketika gaji para TKI dikirimkan ke Indonesia. sebagai contoh RM 1,000 tukaran mata wang asing tersebut akan dicatatkan di bank atau institusi kewangan yang dipilih oleh TKI di Indonesia sebagai kemasukan mata wang asing dan baru akan menjadi nilai rupiah apabila tukaran mata wang asing tersebut ditukarkan. Semakin besar mata wang asing yang diperoleh dari luar negeri akan memberi makna yang baik kepada sumber atau cadangan mata wang asing Indonesia.
simpanan mata wang asing negara Indonesia akan mempengaruhi kestabilan nilai tukar mata wang rupiah dan secara langsung akan mendorong pertumbuhan ekonomi ke arah yang lebih baik.
2.Pertama, membantu kehidupan Keluarga di daerah asal, sebahagian besar wang yang dikirimkan adalah untuk membantu kehidupan sehari-hari ibu bapa, keluarga dan sanak saudara di kampung halaman. Sebahagian besar mereka yang termasuk dalam kategori pertama ini ialah pembantu rumah yang belum berumah tangga. Tetapi bagi yang telah berumah tangga lebih banyak memperuntukan kewangan tersebut disalurkan untuk pendidikan anak-anak dan keperluan untuk kehidupan sehari-hari keluarga yang ditinggalkan.
3.biasanya bantuan kewangan akan disalurkan kepada saudara mara yang ingin berhijrah mengikut jejak langkah TKI. Kewangan yang dikirim biasanya akan digunakan untuk membayar tambang dan keperluan perjalanan calon TKI ke tempat tujuan.
.
PEMBANTU RUMAH INDONESIA BERMASALAH
1.Satu lagi faktor utama sebab-sebab pemerintah Indonesia mengeluarkan undang-undang perlindungan dan penempatan tenaga kerja ke luar negeri kerana pembantu rumah dari Indonesia sering terjerat dengan pelbagai masalah sosial. Sejak awal keberangkatan , para pembantu rumah dari Indonesia sering dilaporkan sudah menjadi mangsa penipuan dan eksploitasi oleh orang tengah (calo) ataupun sponsor. Kegiatan penipuan atau godaan untuk berangkat ke luar negeri sebenarnya bukanlah sesuatu fenomena baru, sejak dahulu, ketika zaman penjajahan Belanda, ramai tenaga kerja Indonesia sudah termakan pujuk rayu orang tengah atau calo.
2.Manakala bagi mereka yang berjaya datang ke Malaysia melalui jalan yang sah, ada juga yang mengalami berbagai masalah di Malaysia. Menurut Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia terdapat banyak kes yang berlaku yang melibatkan pembantu rumah Indonesia yang datang secara sah. Sekurang-kurangnya, menurut pemerhatian Kedutaan Besar Republik Indonesia terdapat sepuluh jenis kes yang kerap berlaku terhadap pembantu rumah Indonesia di Malaysia. Kes-kes tersebut adalah sebagai berikut:- (i) Gaji tidak dibayar ataupun tertunggak (ii) Pemotongan gaji tidak sesuai dengan ketentuan (iii) Disuruh memasak makanan tidak halal (iv) Tidak bertahan lama kerja (v) Bekerja secara berganda ( dirumah dan dikedai) (vi) Bekerja di berbagai rumah yang berbeza majikan (vii) pelecehan seksual (viii) Dilarang berkomunikasi dengan orang luar (ix) Tidak diberi makan yang selayaknya (x) Tidak dibenarkan untuk Sembahyang atau beribadah (Teguh Hendro Cahyono, 2006).
PERLINDUNGAN PEMBANTU RUMAH INDONESIA DI MALAYSIA
Ternyata daripada empat jenis peraturan dan perundangan yang dikatakan terpakai dalam mengawal aliran keluar masuk pembantu rumah dari Indonesia, hanya terdapat dua jenis peraturan yang layak digunakan sebagai acuan tersebut. Peraturan yang paling banyak digunakan oleh Kerajaan Malaysia sebagai acuan dalam mengatur hal ehwal buruh asing melalui Akta Imigresen. Sedangkan acuan yang kedua selepas Akta Imigresen ialah Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Pemerintah Indonesia dan Malaysia yang telah diaksanakan sejak daripada tahun 1984.
PEMBANTU RUMAH INDONESIA DAN PERATURAN IMIGRESEN MALAYSIA
1.Secara keseluruhan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeriyang bertangungjawab mengawal aliran pekerja asing di Malaysia. Oleh sebab itu output undang-undang atau regulasi yang dikeluarkan adalah melalui Akta Imigresen. Dalam Akta Imigresen tidak banyak dibincangkan tentang perlindungan kepada pekerja atau pembantu rumah. Ini kerana Akta Imigresen lebih terfokus kepada prosedur pembayaran levi, permit kerja dan visa.
2.Peraturan Single Entry Policy yang diperuntukan oleh Akta Imigresen Malaysia yang bermaksud pembatu rumah hanya boleh di daftarkan dengan seorang majikan sahaja apabila memasuki negara ini. Peraturan ini telah menyukarkan pembantu rumah asing di Malaysia. Hal ini kerana pembantu rumah tersebut tidak dapat memilih majikan yang dikehendakinya. Sebaliknya majikan berhak pula menggantikan pekerja yang tidak disenanginya. Dalam erti kata lain, kuasa majikan mutlak sementara kuasa pekerja langsung tidak wujud. Jika seseorang pekerja hendak berganti majikan, mereka harus kembali terlebih dahulu ke Indonesia atau negara asal setelah itu kembali semula ke Malaysia dengan visa atau permit kerja sementara yang baru.
2.Pada masa yang sama, seandainya pekerja dapat membuat aduan mengenai tindakan kekerasan yang dilakukan oleh majikan atau tidak dibayar gaji oleh majikan kes tersebut juga akan diputuskan mahkamah dalam jangkawaktu yang panjang. Lebih malang lagi Akta Pekerja pula menetapkan selama kes tersebut belum dapat diselesaikan atau diputuskan oleh mahkamah, maka pekerja asing tidak dibenarkan bekerja. Tetapi pekerja asing tetap harus membayar kos visa khas (special visa) sebesar RM 100.00 untuk setiap bulan selama menunggu kes tersebut diselesaikan. Kes ini terjadi kepada Nirmala Bonat vs Yim Pek Ha yang dibicarakan bermula pada 21 Mei 2004 di Mahkamah Sessions (Sessions Court) yang belum selesai sehingga hari ini. Akhirnya pekerja lebih rela lari atau pulang saja ke Indonesia daripada melaporkan kejadian sebenarnya kepada pihak imigresen, polis atau Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur.
Selanjutnya Akta Imigresen juga membenarkan majikan atau agensi pekerjaan memegang paspot pekerja. Persoalan ini menjadi semakin rumit apabila terdapat sebelah pihak majikan atau pekerja yang tidak secocok. Pihak pekerja akan ditangkap oleh pihak tertentu apabila melarikan diri kerana paspot tidak dibawa bersama. Kedudukan tanpa paspot ini boleh dijatuhkan hukuman sebagai pendatang haram. Pada masa yang sama terjadi juga kompromi diantara majikan dengan pihak agensi pekerja asing untuk membuat visa atau permit lanjutan palsu agar menjimatkan kos pembayaran terhadap pekerja. Fenomena ini sering terjadi apabila majikan menyambung semula permit pada tahun yang berikutnya.
latihan penulisan karangan: karangan Bahagian A
Isu pembantu rumah yang sering disiarkan melalui media massa sudah merupakah perkara yang lumrah dalam hidup.
Bincangkan kepentingan pembantu rumah dan permasalahan yang dihadapi.
--