WASHINGTON 19 Julai - Satu teknik baru memasukkan vaksin ke dalam tisu badan manusia berjaya dicipta menggunakan 100 jarum mikro sepanjang 650 mikron setiap satu yang dibubuh pada permukaan satu tampalan seperti plaster pembalut luka.
Penemuan itu dilakukan sekumpulan penyelidik diketuai Mark Prausnitz dari Georgia Institute of Technology serta melibatkan beberapa saintis dari Emory University.
Jarum mikro yang terlalu kecil itu tidak menyakitkan dan ia berfungsi menembusi kulit sebelum melarut dan melepaskan vaksin ke dalam tisu badan apabila diletakkan antara lima hingga 15 minit tanpa memerlukan sebarang latihan spesifik untuk menggunakannya.
Kaedah baru tampalan jarum mikro yang dikatakan berasa seperti kertas pasir itu berjaya menyelesaikan dua masalah iaitu ketakutan orang ramai terhadap jarum suntikan dan pembuangan alatan tersebut selepas ia digunakan.
Penemuan jarum mikro yang diterbitkan dalam jurnal penyelidikan, Nature Medicine edisi Ahad itu juga secara tidak langsung menggalakkan orang ramai mendapatkan vaksin selesema, terutamanya bagi mereka yang menyuntik sendiri di rumah.
Pengambilan vaksin selesema digalakkan bagi setiap individu pada setiap tahun tetapi ramai yang tidak mengambilnya kerana merasakan ia menyusahkan.
"Matlamat utama kami adalah untuk mencari kaedah pemberian suntikan vaksin secara mesra pesakit," kata Prausnitz ketika dihubungi.
Tampalan yang telah diuji ke atas tikus makmal itu dibangunkan bersama penyelidik dari Emory University serta mendapat sokongan dari National Institutes of Health (NIH).
Mereka kini mencari dana bagi membiayai penyelidikan untuk mengujinya ke atas manusia dan sekiranya ia berjalan lancar, tampalan jarum mikro itu boleh digunakan dalam masa lima tahun lagi.
Beberapa rawatan perubatan sebelum ini telah dibangunkan menggunakan tampalan seperti nikotin untuk orang ramai berhenti merokok tetapi cubaan untuk menghasilkan teknik serupa untuk vaksin selesema masih belum berjaya setakat ini. - AP
Sumber: Utusan Malaysia Online (19 Julai 2010, Isnin)-perkongsian untuk info semasa..
