Home   Forum   Help Search Calendar Links Login Register   **
Welcome, Guest. Please login or register.
Did you miss your activation email?
May 25, 2012, 10:53:31 PM

Login with username, password and session length
Program
EduWebTVLatih TubiLINUSManaging Challenging SchoolsGerakan Memperkasakan SekolahLDPICTL SMICTL SRMalaysian Grid for Learning (MyGfL)ProtimPPSMISIP
Recent
[Today at 10:51:56 PM]

[Today at 07:37:11 PM]

[Today at 05:41:21 PM]

[Today at 11:36:49 AM]

[Today at 11:07:06 AM]

[Yesterday at 11:56:50 PM]

[Yesterday at 10:23:08 PM]

[Yesterday at 08:34:38 PM]

[Yesterday at 05:51:30 PM]

[Yesterday at 11:53:44 AM]
 

Pages: [1]   Go Down
  Print  
Author Topic: nota,latihan, skema: cerpen Israk  (Read 1157 times)
0 Members and 1 Guest are viewing this topic.
Ng Ai Fen
SMK Wira Penrissen
Teacher
Senior Member
*

Fame: 4
Offline Offline

Gender: Female
Posts: 236


org malas mencari alasan org rajin penyelesaian!


« on: April 06, 2011, 10:59:19 PM »

CERPEN: ISRAK

Mikraj memanggil-manggil Wah (nenek) setiba di kampung tempat dia dilahirkan dahulu bersama Israk (abang), ayah (Adam) dan ibunya. Wah muncul dari lembah Sungai Perak terus menyapa anak-cucunya yang sedang menunggu. Mereka naik ke rumah Wah yang uzur itu, jelas terbayang ketidakselesaan pada Israk.

Wah menjemput mereka makan buah durian yang baru dikutip di kebun pagi tadi. Mikraj, abah dan ibu begitu gemarkan durian ”kucing tidur” rasanya enak sekali. Israk enggan menjamah buah durian yang dihulurkan oleh Abah tetapi menolaknya dengan baik kerana menghormati bapanya. Pada masa itu Wah sedang solat dibiliknya sambil diperhatikan oleh Mikraj.

 
Selepas itu Israk cuba memperkecil-kecil cenkodok dan air teh yang dihidangkan kepadanya oleh Wah. Mikraj marah dan tidak suka dengan sikap Israk, dia cuba menasihati Israk supaya menghormati Wah ”tanpa Wah siapalah kita”. Rumah Wah ini sudah buruk tetapi masih boleh berlindung daripada panas dan hujan. Rumah pusaka itu dipertahankan oleh Wah walaupun ingin dibeli oleh Majlis Daerah untuk dijadikan pusat pelancongan. Lebai Saleh telah membantu Wah mempertahankan rumah itu. Sebenarnya Lebai Saleh menjadi buah hati Wah tetapi dia berkahwin selepas belajar di Mesir manakala Wah berkahwin dengan Firdaus Frank.
 


Cerita hubungan Israk dan Wah yang tidak begitu rapat berpunca daripada tindakan atuk ”Perth” yang melarikan Israk sejak kecil. Wah sebenarnya yang menjaga Israk sejak berumur satu hari. Oleh itu Mikraj cuba mendekatkan abangnya dengan neneknya. Malangnya Israk suka mengada, sering kali memaki, menyindir dan menyakiti hati Wah kerana menganggap orang tua itu tidak setaraf dengannya yang bakal menjadi seorang ahli korporat tidak lama lagi. Berbanding Mikraj, anak itu sangat menyanyangi Wah, dia sempat bergelak ketawa dan bersama-sama Wah ke kebun walaupun Israk menyombongkan dirinya. Mikraj mahu Israk menghargai pengorbanan Wah dan merapatkan hubungan dengan neneknya itu kerana Israk tidak tahu penderitaan dan keperitan hidup yang telah dilalui oleh Wah neneknya yang penuh dengan nolstagia itu.

Bagi Mikraj, Wah merupakan seorang wanita istimewa, mempunyai ketahanan jiwa yang hebat, berani dan berjaya menghadapi cabaran hidup dan kini keseorangan di kampung. Perkara ini sepatutnya disedari oleh Israk.

Sepanjang hari semasa berada di rumah Wah, Israk amat tidak selesa dari segi makanan kerana dia dihidangkan nasi dan tempoyak dan ikan sungai. Dia juga tidak dapat menonton televisyen kerana Wah hanya ada sebuah TV yang sudah pun rosak. Israk mahu balik dengan segera ke Kuala Lumpur kerana tak sanggup berada di kampung yang serba serbi kekurangan itu. Jelas terbayang kesedihan pada wajah tua Wah, Mikraj tahu Wah benar-benar terasa akan kata-kata abangnya itu.
 

Pada suatu pagi Israk terpaksa mandi di sungai kerana air paip di rumah Wah terputus bekalan. Mikraj telah mencabar abangnya supaya mandi di sungai dengan tanpa pengetahuan Wah kerana pagi-pagi lagi dia sudah ke tepi sungai seperti hari-hari biasa. Israk mencapai sehelai tuala lalu terus ke sungai tanpa mengetahui kawasan sungai itu amat dalam sekali.Mikraj terkejut tiba-tiba bayang-bayang abangnya tidak kelihatan lagi. Dia memanggil Wah supaya menyelamatkan Israk yang telah lemas di sungai itu .Biasanya tempat orang mandi di tebing sungai tepi rumah Lebai Saleh kerana di situ lebih selamat airnya tidak dalam sangat. Dulu Kakak Wah pernah lemas di tempat tersebut dan mayatnya ditemui penduduk sehari kemudian.

Wah mencari-cari cucunya itu lalu lalu dilihatnya Israk hanya berpaut pada tali sauh yang sudah reput. Wah menghulurkan sebatang kayu menarik Israk sekuat-kuatnya ke tebing sungai walaupun tenaganya lemah namun dikuatkan juga demi cucunya yang tersayang. Akhirnya Israk berjaya diselamatkan, mulai saat itu sikap ego dan sombong Israk terhadap Wah telah berjaya dilenyapkan. Dia tidak memandang rendah lagi kepada Wah kerana telah insaf. Sewaktu makan malam Israk telah mengejutkan Mikraj kerana meminta jering dan tempoyak daripada Wah untuk disantapnya. Adam sangat gembira dengan perubahan yang berlaku pada anaknya itu.

 

Contoh latihan dan skema jawapan

Set a

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Cekodok aje? Airnya pula macam air air Sungai Kelang!” rungut Israk bagaikan tuan besar.

“Abang ni macam perempuan. Cerewet tidak semena-mena. Makan sajalah! Atau abang akan mati kebuluran.” Asap kemarahan dilepaskan sedikit demi sedikit.

“Buang masa saja tinggal di sini!” Bara kata-kata Israk itu memanaskan lagi telingan Mikraj.

Bersarang perasan geramnya di dalam hati apabila Israk beredar. Lagak Israk menewaskan lagak orang yang berlagak. Dia masih belum sedar daripada mimpinya. Agaknya, kalau ditimpa musibah baru dia akan sedar. Sudah terhantuk baru terngadah.

Israk menekan punat televisyen. Malangnya, tiada apa-apa pada skrin. Kaca TV hitam sahaja. Israk mencebik.

“TV pun rosak!” Sengaja ditinggikan suaranya seperti ‘injak naik’ yang menaikkan jumlah voltan arus yang mengalir.

Dengan sopan kerusi ditolak ke bawah meja. Mikraj menapak ke ruang tamu seluas 4 m x 6 m itu. Mata bundarnya memandang Israk yang mundar mandir di situ. Bagaikan cacing kepanasan. Sesungguhnya dia tidak serasi dengan situasi di situ, di rumah Wah, Kampung Sayong.

“Bukankah Wah lebih tua daripada kita. Lagipun dia nenek kita. Tentu orang cerdik seperti abang tahu tanggungjawab!”

Israk melemparkan pandangan ke luar jendela. Daun pokok pisang melambai-lambainya seolah-olah mengejinya. Dia mengetap bibir.

(Dipetik daripada cerpen Israk oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja,
Hal. 133-134)




(i) Apakah yang sebenarnya menyebabkan Bara kata-kata Israk itu memanaskan lagi telinga Mikraj? (2 markah)

(ii) Sekiranya anda ialah Mikraj, bagai manakah langkah terbaik untuk menyedarkan Israk daripada sikap egonya? (3 markah)

(iii) Huraikan tiga nilai yang terdapat dalam keseluruhan cerpen Israk. (3 markah)

Skema Jawapan :

Latihan

(i) Bara kata-kata Israk itu memanaskan lagi telinga Mikraj kerana perangai Israk yang keterlaluan. Baru pertama kali datang, Israk menjadi berlagak tak tentu dan mengatakan kedatangannya itu membuang masa sahaja. Bagi Mikraj, walaupun Israk dibesarkan di Perth, tidak bermakna Israk boleh menunjukkan sifat riak, ujub, sombong, bongkak dan takbur. Semua makanan tradisional yang nenek sediakan tidak kena seleranya dan apa sahaja yang dilaluinya di rumah nenek Wah, Kampung Sayong menjadi tidak serasi dan meresahkannya. Sepatutnya dia berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di kampong.

(ii) Sekiranya saya sebagai Mikraj, saya tidak akan bertegas ataupun meluahkan rasa tidak puas hati secara terang-terangan tetapi saya cuba berdiplomasi. Saya berusaha untuk memujuk Israk agar mengenang riwayat hidup ayahnya sebelum dia menuntut di luar negeri. Hasil tanaman Wah seperti durian dan buah-buahan tempatan itulah yang membiayai pengajian ayah Israk. Sebagai cucu, Israk sepatutnya bersyukur dan menghargai jasa neneknya, bukan sengaja menyindir atau berlagak demikian.

(iii) Tiga nilai dalam keseluruhan cerpen ialah kasih sayang. Walupun Israk dibesarkan di luar negeri, sebagai cucu, Wah tetap mengasihinya. Wah tidak ambil hati sungguhpun sedikit sebanyak perkataan yang Israk luahkan kurang wajar dan menunjukkan sikap egonya. Nilai kedua ialah kesederhanaan. Sebagai cucu, Israk sepatutnya bersopan santun dan bersederhana dalam pertuturan. Nilai seterusnya ialah hormat-menghormati neneknya yang sudah tua dan telah banyak berjasa kepada ayahnya serta jangan mengecilkan hatinya.


Set b.
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Abang tak mahu pergi ke kebun? Apa kata abang pergi sebelum abang jadi ahli korporat nanti,” rayu Mikraj.

“Tak perlu!” Israk mengayun kata-kata.

“Mengapa? Abang takut nyamuk? Agas? Atau seram dengan nyanyian cengkerik? Mengapa abang terlau berlagak akhir-akhir ini?” Suara Mikraj makin lama makin meninggi.

Israk menarik nafas dalam-dalam dan berkata, Mengapa kau terlalu menjaga tepi kain orang?”

“Saya kasihan melihat Wah. Abang menghina, mengeji, menyakiti Wah. Paha kanan tercubit paha kiri turut berasa sakit. Abang sedar tak. Wah lebih tua daripada Abang!”

“Aku cukup pantang kalau diherdik oleh budak kecil!”

“Saya ajak Pa dan Ma bawa abang balik kampong semata-mata mahu abang mengenali Wah yang membela abang sejak berusia satu hari lagi. Abang tahu, Wah benar-benar terhiris sewaktu atuk ‘Perth’ bawa abang lari. Sejak itu abang langsung tak mengenali Wah. Saya mahu abang belajar erti kepayahan, kekecewaan dan ketabahan seorang wanita. Wah orangnya……,” butir bicara Mikraj diiringi mutiara mata.

(Dipetik daripada cerpen “Israk”, oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Mengapakah Mikraj beria-ia menyuruh ‘pa’ dan ‘ma’ membawa Israk balik ke kampong?Nyatakan tiga sebab. (3 markah)


(ii) Sekiranya anda ialah mahasiswa dalam bidang pertanian, jelaskan usaha-usaha yang akan anda lakukan untuk memajukan bidang pertanian di kampong. Berikan tiga cadangan anda. (3 markah)


(iii) Nyatakan satu perwatakan Israk dalam petikan di atas dan dua perwatakan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. (3 markah)



Skema Jawapan :

Petikan cerpen :

(i) … supaya Israk mengenali Wah yang membelanya sejak berusia satu hari
… mengubati hati Wah yang terhiris ketika atuk ‘Perth’ membawanya lari
… supaya Israk belajar erti kepayahan, kekecewaan dan ketabahan seorang wanita


(ii) … bantuan nasihat agar petani dapat menigkatkan pengeluaran hasil pertanian
… menggunakan teknologi terkini intuk memajukan bidang pertanian
… mengurus pinjaman modal melalui bank


(iii) perwatakan Israk dalam petikan: … serang yang angkuh dan sombong dengan berasa dirinya lebih baik daripada orang lain
perwatakan dalam keseluruhan cerpen: … mementingkan diri tanpa mempedulikan perasaan orang lain, … tidak menhormati orang tua misalnya dia tidak menghormati Wah.


Latihan:

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


“Abang tak mahu pergi kebun?” Apa kata abang pergi sebelum abang jadi ahli korporat nanti,” rayu Mikraj.

“Tak perlu!” Israk mengayun kata-kata.
“Mengapa? Abang takut nyamuk? Agas? Atau seram dengan nyanyian cengkerik? Mengapa abang terlalu berlagak akhir-akhir ini?” Suara Mikraj makin lama makin meninggi.

Israk menarik nafas dalam-dalam, dan berkata, “Mengapa kau terlalu menjaga tepi kain orang?”

“Saya kasihan melihat Wah. Abang menghina, mengeji, menyakiti Wah. Paha kanan tercubit paha kiri turut berasa sakit. Abang sedar tak, Wah lebih tua daripada abang!”

“Aku cukup pantang kalau diherdik oleh budak kecil!”

“Saya ajak pa dan ma bawa abang balik kampung semata-mata mahu abang mengenali Wah yang membela abang sejak berusia satu hari lagi. Abang tahu, Wah benar-benar terhiris sewaktu atuk “Perth”bawa abang lari. Sejak itu abang langsung tak mengenali Wah. Saya mahu abang belajar erti kepayahan, kekecewaan, dan ketabahan seorang wanita. Wah orangnya ...,” butir bicara Mikraj diiringi mutiara mata.

“Sudah hujan,” perli Israk.
“Abang jangan terkejut kalau saya mampu membuat abang menangis nanti!”

Israk bersahaja. Dia mencapai gitarnya lalu lagu sumbang itu kembali beralun. Perasaan meluat mula bersarang dalam kalbu Mikraj. Kalau tersilap jolok, pasti terjolok sarang itu. Bahaya.

(Dipetik daripada “Israk” oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka.)

Latihan:

1)Mengapakah Israk sepatutnya menghormati Wah? (3m)

2)Pada pendapat anda, wajarkah seseorang memberikan nasihat kepada orang yang lebih tua daripadanya? (3m)

3)Berikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan dua pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut. (3m)



Logged

Ng Ai Fen
SMK Wira Penrissen
Jaafar Bin Zaini
SK St. Patrick
Teacher
Senior Member
*

Fame: 6
Offline Offline

Gender: Male
Posts: 241



« Reply #1 on: April 07, 2011, 06:02:16 AM »

Terima kasih. Sangat berguna untuk anak.
Logged

Hj. Ja'afar bin Hj. Zaini
Penolong Kanan
SK St. Patrick, Mukah
Pages: [1]   Go Up
  Print  
 
Jump to:  

PIPPBahagian Pembangunan Kurikulume-Paymente-Hasil
Powered by MySQL Powered by PHP Powered by SMF 1.1.16 | SMF © 2011, Simple Machines | Sitemap Valid XHTML 1.0! Valid CSS!
Page created in 0.121 seconds with 27 queries.