Home   Forum   Help Search Calendar Links Login Register   **
Welcome, Guest. Please login or register.
Did you miss your activation email?
May 26, 2012, 03:31:10 AM

Login with username, password and session length
Program
EduWebTVLatih TubiLINUSManaging Challenging SchoolsGerakan Memperkasakan SekolahLDPICTL SMICTL SRMalaysian Grid for Learning (MyGfL)ProtimPPSMISIP
Recent
[Yesterday at 10:51:56 PM]

[Yesterday at 07:37:11 PM]

[Yesterday at 05:41:21 PM]

[Yesterday at 11:36:49 AM]

[Yesterday at 11:07:06 AM]

[May 24, 2012, 11:56:50 PM]

[May 24, 2012, 10:23:08 PM]

[May 24, 2012, 08:34:38 PM]

[May 24, 2012, 05:51:30 PM]

[May 24, 2012, 11:53:44 AM]
 

Pages: [1]   Go Down
  Print  
Author Topic: bahan rujukan karangan: keldai dadah??  (Read 476 times)
0 Members and 2 Guests are viewing this topic.
Ng Ai Fen
SMK Wira Penrissen
Teacher
Senior Member
*

Fame: 4
Offline Offline

Gender: Female
Posts: 236


org malas mencari alasan org rajin penyelesaian!


« on: February 08, 2012, 12:03:55 PM »

Awasi jerat jadi 'keldai dadah'
Teks dan gambar oleh : Kusyi Hirdan
 
JIKA dahulu, kerisauan ibu bapa tatkala anak ke luar negara berkisar mengenai makanan halal, kahwin orang asing, lupa diri dan agama atau tidak mahu pulang, kini ibu bapa perlu memastikan satu perkara lagi. Jangan sampai anak anda menjadi keldai dadah!
 
Keldai dadah ialah frasa yang merujuk kepada seseorang yang secara rela atau diperdaya untuk menjadi kurier, membawa dadah atau barang seludup ke negara lain. Taktik ini mengurangkan risiko pengedar atau penyeludup dadah itu ditangkap. Kaedah penyeludupan termasuk menyembunyikan barang dalam kenderaan, bagasi atau pakaian, mengikat pada badan ataupun dengan menelannya. Amat merisaukan sekiranya rakyat Malaysia terjebak di dalam keadaan ini ketika masuk ke negara orang dan antara negara yang diketahui sedang menahan warga Malaysia di penjaranya ialah China.

Guangzhou di China, negeri yang terkenal dengan peluang perniagaan dan permintaan pengedaran barangan seperti elektronik, pakaian, ubat-ubatan, barangan kesihatan serta perabot.
 
Pendek kata, semuanya ada di China dan ia menjadi tumpuan rakyat dunia membeli-belah untuk diri sendiri dan untuk diniagakan. Barangan yang perlu dibeli secara borong akan menjanjikan keuntungan maka banyak syarikat diwujudkan demi mengambil peluang ini.

Justeru, ramai yang tertipu dan terpedaya apabila pihak tertentu menjadikan nama Guangzhou sebagai pancingan ketika membuat tawaran kerja. Pelbagai jenis perniagaan direka dan diuar-uarkan walhal sebaliknya, mereka berniaga najis dadah.

Perniagaan dadah memang menguntungkan dan memerlukan kebijaksanaan. Tambah untung jika dapat membesarkan 'perniagaan' keluar negara. Lagi banyak negara yang ditembusi lagi hebat pulangannya.
 
Kreativiti juga perlu untuk mengubah strategi mengikut peredaran masa supaya kelicikan tidak dihidu. Internet wadah terkini yang memudahkan pergerakan. Mungkin semakin moden, lelaki tampan, bergaya dan hebat berkata-kata sudah ketinggalan zaman ketika ini untuk digunakan bagi merekrut keldai dadah walau ia masih taktik yang paling mudah dan laku.

Begitu juga menggunakan ruang bagasi, dikatakan kaedah lama untuk menyeludup dadah dan paling mudah dikesan pihak berkuasa. Terkini, taktik menggunakan sabun mandi yang ditebuk untuk dimasukkan dadah serta bingkai gambar, komputer riba dan kerusi roda juga sudah dijadikan idea. Bermakna idea penyangak ini tidak pernah kering dalam memastikan dadah perosak bangsa dapat memenuhi permintaan ejennya.
 
Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, China, Francisco Munis menasihatkan warga Malaysia yang keluar negara sama ada melancong atau bekerja supaya sentiasa mengambil langkah berhati-hati. Jangan mudah mempercayai janji atau tawaran yang disertakan pulangan lumayan sebagai ganjaran untuk ke luar negeri. Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia mengambil langkah berhati-hati di negara orang dan sentiasa mematuhi undang-undang negara yang dilawati. Di samping itu rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mendaftar dengan perwakilan Malaysia di luar negeri sama ada melalui e-mel atau datang sendiri ke pejabat perwakilan bagi membolehkan usaha untuk membantu mereka dilakukan sekiranya berlaku apa-apa bencana seperti malapetaka, kemalangan atau kematian. Ini juga bagi memudahkan keluarga mereka dihubungi.

Katanya, kerajaan memang selalu mengingatkan masyarakat akibat tidak berhati-hati yang membawa padah ini melalui saluran media, tetapi kesedaran masih kurang serta tidak dihiraukan kebanyakan orang.

"Kementerian Luar Negeri bekerjasama dengan Kementerian Penerangan dan Pertubuhan Anti Dadah untuk mengingatkan masyarakat supaya sedar keadaan ini di mana ramai sudah dijadikan 'keldai dadah'. Menurut statistik, orang yang terkena ini muda-muda belaka dan amat menyedihkan apabila mereka menyatakan tidak peka dengan apa yang sedang berlaku," katanya.

Kata Munis, bagi yang mahu keluar negara atas tujuan yang membabitkan pihak ketiga yang baru dikenali dan atas tawaran lumayan, mereka perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa kerana modus operandi pihak yang merekrut keldai dadah sentiasa berubah-ubah.

"Asalnya dahulu melalui kiriman dengan berlagak sebagai kawan baru, kemudian tawaran bercuti ke luar negara yang semuanya ditanggung termasuk duit belanja serta beg baru. Di dalam beg itulah selalunya diletakkan dadah. "Mereka sangka mendapat percutian percuma, tetapi rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Sebagai contoh, tawaran yang membabitkan kerja dan si pekerja kononnya dihantar menjaga cawangan luar negara. Kadang-kadang ia berlaku selepas setahun bekerja supaya tidak menimbulkan syak," katanya.

Tawaran kerja melalui Internet dengan gaji yang lumayan juga perlu disiasat dengan mendalam kesahihannya. Munis menegaskan, jangan mudah menerima kiriman orang tanpa memeriksa isi kandungan kiriman. "Selagi tidak mengetahui, melihat dan memeriksa kandungan yang dikirim itu jangan mudah memberi kesanggupan. Sekarang pelbagai cara orang menyorokkan dadah sama ada di dalam bingkai gambar, kerusi roda dan macam-macam lagi idea kreatif. Jangan risau dikata penyibuk kerana ini untuk keselamatan diri kita. "Begitu juga ketika berada di lapangan terbang, jangan meninggalkan beg merata-rata dan pastikan ia berkunci," katanya.

Apabila ditahan pihak berkuasa negara yang kita kunjungi atas apa kesalahan pun, rakyat Malaysia boleh mendapatkan bimbingan nasihat daripada Pegawai Konsular Malaysia di negara itu.

"Apabila menjadi mangsa, keluarga mangsa harus memahami skop atau bidang tugas pihak Pegawai Konsular Malaysia yang hanya boleh memberi bantuan seperti nasihat dan bimbingan tetapi tidak boleh mencampuri atau mengubah undang-undang negara mangsa ditahan. Pihak Pegawai Konsular akan berusaha menghulurkan bantuan namun ramai yang salah faham mengenai jenis bantuan yang boleh diberikan itu.

"Memang tugas Pegawai Konsular Malaysia membantu mangsa sedaya upaya. Membantu dengan memberitahu mangsa mengenai hak membela diri, menghubungi keluarga, membantu menguruskan khidmat guaman melalui bantuan Wisma Putra dan kemudian mengadakan lawatan konsular." Mentaliti sebilangan rakyat Malaysia menyangka pihak Pegawai Konsulat boleh melepaskan mereka daripada tahanan adalah tidak benar. "Orang yang ditahan tetap ditahan dan sekiranya terbukti sesiapa pun tidak boleh melepaskan diri. Pihak Pegawai Konsular tidak boleh campur tangan dalam urusan perundangan di negara lain. Sebab itu kita jangan melakukan kesalahan atau jenayah di mana sahaja, di dalam negara ataupun luar negara. Tambahan berada di negara orang, kena ikut undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Alamat Konsul Malaysia di Guangzhou - Unit 1912, 1913, 1915-1918, Citic Plaza Office Tower, 233 Tian He Bei Road, 510610 Guangzhou. E-mel: malgzhou@kln.gov.my
 
Wanita `keldai’ dadah
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
2010/12/23
Bentuk fizikal mudahkan penyeludupan

MASUKKAN dadah dalam kemaluan atau dubur? Biar pun bunyinya keterlaluan dan tidak masuk akal, itulah modus operandi (MO) dimainkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa mensasarkan wanita sebagai keldai dalam urusan penyeludupan.

Kenapa wanita menjadi sasaran? Jawapan mudah kerana bentuk fizikal wanita membolehkan ‘penyamaran’ dilakukan, seterusnya mengelak daripada dihidu pihak berkuasa. Boleh ‘dilihat baik’ dengan mengenakan pakaian sopan, termasuk bertudung dan berjubah. Juga boleh berpura-pura kelihatan gemuk atau hamil dengan menyembunyikan dadah pada bahagian payu dara dan dililit sekeliling pinggang atau menyorokkan dadah dalam kemaluan, menjadikan wanita objek paling laris dalam operasi pengedaran dadah antarabangsa.

Sejak 2007 hingga September 2010 seramai 114 wanita dijadikan keldai berbanding 109 lelaki. Lebih membimbangkan, `keldai’ dadah ini sengaja ‘dipilih’ dalam kalangan wanita yang tidak mempunyai rekod jenayah dan diperdaya dengan MO, ‘diberi ganjaran selepas selesai tugasan diberikan’.

Deputi Superintendan Nafisah Adam dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berkata, MO itu menyukarkan pengesanan kerana alat pengesan yang rata-rata didapati di lapangan terbang kebanyakan negara, hanya mampu mengesan jenis logam yang diletakkan dalam bagasi.

Bahan yang disorok ke dalam anggota badan, sukar dihidu, melainkan menerusi kebijaksanaan seperti maklumat atau intipan.

Beberapa kes penyeludupan dadah ke Malaysia dalam kalangan wanita Iran yang dikatakan semakin kerap kini, katanya, kemungkinan berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya kelonggaran pemeriksaan di pintu masuk negara berkenaan.

“Apabila penyeludup dadah dari negara luar datang ke Malaysia contohnya, ‘terlepas’ dari pintu lapangan terbangnya, maka ia akan dibawa ke Malaysia dan apabila sampai di Malaysia, kita memeriksa wanita khususnya yang menutup aurat tidaklah sampai suruh buka pakaian, sebaliknya kita lebih beradab. Tetapi itulah yang menyebabkan mereka mungkin terlepas.

“Oleh itu, di sinilah pentingnya bagi kita, meningkatkan pemeriksaan dan usaha sama antara negara luar membantu membanteras penyeludupan dadah.

“Kerajaan turut bekerjasama dengan agensi lain untuk meletakkan anjing pengesan, meningkatkan teknologi alat pengesan di lapangan terbang berikutan alat sekarang tidak mampu mengesan dadah yang dibawa atau seludup menggunakan anggota badan,” katanya pada pada Forum Hadhari ‘Wanita Memerangi Dadah’ anjuran bersama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), YADIM di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung PEMADAM, Datuk Kamilia Ibrahim dan Felo Bersekutu Hadhari UKM, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal sebagai moderator.

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Luar, Dzulkefly Abdullah, berkata sejak 2007, kes penyeludupan dadah membabitkan wanita semakin ketara dengan seramai sembilan orang wanita Malaysia menerima hukuman gantung kerana kesalahan dadah di luar negara.

“Seramai 24 wanita pernah ditahan di Thailand, 18 di Australia dan 16 di China kerana kesalahan dadah. Latar belakang wanita yang pernah ditahan, termasuklah 41 peratus berusia antara 20 tahun dan 30 tahun. Rekod paling muda berusia 19 tahun dan paling tua, 55 tahun. Wanita ini datang dari pelbagai latar belakang dengan sebahagian besarnya tiada rekod jenayah.

“Rakyat Malaysia dijadikan proksi dengan MO digunakan antaranya menghantar wanita bertugas ke luar negara atau mendapat hadiah percutian dengan semua kos ditanggung. Sebahagian besarnya ditahan di lapangan terbang, mendakwa ditipu,” katanya.

Dalam satu kes, kata Dzulkefly, pihaknya cuba menyelamatkan seorang gadis daripada terjebak menjadi keldai hasil laporan keluarga yang mengesyaki anak mereka dijadikan umpan.

Justeru, kerjasama daripada keluarga amat membantu selain kita melakukan pemeriksaan dengan rapi.

“Begitupun, bagi yang sudah tahu tugasan berkenaan berbahaya tapi mahu meneruskan tugasan pula, memberikan alasan terdesak, mendapat upah lumayan atau diancam,” katanya yang menyatakan kuantiti dadah dibawa adalah pelbagai dengan rekod paling sedikit sebanyak 400g hingga 29kg.

Mengulas mengenai dadah, katanya, umumnya ada dua jenis dadah iaitu ‘traditional drug’ seperti heroin dan ganja, sementara ‘designer drug’ ialah dadah yang boleh diadun sendiri di rumah dengan mencampurkan bahan tertentu dijadikan ice dan syabu.

‘Traditional drug’ disabitkan dengan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala ‘designer drug’ dikaitkan dengan Akta Racun 1952. Ia dikaitkan dengan racun kerana ia diubahsuai hingga boleh menjadi mudarat kepada individu yang mengambilnya. Ia boleh datang dalam pelbagai rupa dan jangan terkejut sekiranya ia terlalu canggih, hinggakan kadangkala ia kelihatan seperti gula-gula.

“Hari ini semakin ramai penuntut sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit dengan dadah yang mana ia tidak sepatutnya berlaku. Sebanyak 90 peratus pelajar sekolah menyatakan mereka mengambil dadah atas alasan tekanan serta desakan ibu bapa untuk belajar, desakan hidup, selain pengaruh teman lelaki,” katanya yang turut menyentuh bahawa Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 antara lain merampas harta milik individu atau keluarga yang terbabit dengan perniagaan dadah sebagai salah satu cara mengekang masalah dadah.

Gerakkan sukarelawan perangi dadah

PENAGIHAN dadah sudah lama berlaku dan menjadi epidemik sukar dikawal kerana semua kategori rakyat negara ini terbabit dengan masalah dadah, tanpa mengenal sempadan usia dan status, menjadikan tindakan lebih proaktif memeranginya diperlukan, sejajar sasaran negara bebas dadah menjelang 2015.

Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), Lasimon Matokrem, berkata, dulu penagihan dadah dikaitkan dengan golongan tua dengan tujuannya untuk ‘kuat kerja’ tetapi sejak 1960an semakin ramai golongan muda menagih, lalu Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952) diwujudkan untuk kawal masalah itu.

Dadah semakin mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, maka kerajaan memberikan sepenuh komitmen membanteras dengan meletakkan dadah di bawah pengelolaan Kementerian Dalam Negeri.

“Antara strategi AADK untuk mencapai ‘negara bebas dadah’ pada 2015 adalah melalui pendidikan pencegahan kepada peringkat sasaran seperti keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti.

“Proses rawatan dan pemulihan sedia ada ialah PUSPEN (Pusat Pemulihan Narkotik) yang menggantikan Pusat Serenti. Elemen rawatan yang diterapkan adalah secara holistik membabitkan fizikal, spiritual, psikososial dan vokasional,” katanya yang menyatakan tafsiran Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) penagih dadah adalah pesakit justeru rawatan alternatif yang dilakukan oleh AADK untuk membendung ketagihan dadah, bentuk rawatan sentiasa ditambah baik dari masa ke semasa.

“Berhubung keberkesanan usaha Kementerian Dalam Negeri untuk menangani masalah dadah, usaha untuk ‘sifar dadah’ adalah sukar dicapai kerana penagihan dadah boleh berulang tetapi ia tidak mustahil dicapai.

“Dalam usaha itu antara lain AADK melancarkan MAWADDAH atau gerakan membabitkan wanita untuk memerangi dadah. Ia adalah suatu konsep untuk menggerakkan aktiviti memerangi dadah, antara programnya ialah outreach (mendampingi), ziarah kasih dalam komuniti berisiko, pemulihan moral dan program permataku, iaitu mengenal anak dengan lebih dekat,” katanya.

Ujarnya wanita dipilih kerana ia menjadi individu berpengaruh dan berperanan penting dalam keluarga. Selain itu pada perancangan akan datang, AADK akan membabitkan lebih ramai wanita terutama NGO (menjadi sukarelawan) untuk berganding bahu dengan AADK dalam usaha memerangi dadah. Ini kerana AADK merasakan usaha secara kolektif adalah perlu untuk hasil yang lebih baik.


Pihak konsul Malaysia di Australia sedang berusaha untuk membantu gadis Bidayuh yang menjadi mangsa keldai hitam itu.
 KUCHING: Nasib mangsa keldai dadah, Beatrice Laus yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne, Australia bulan lepas hanya akan diketahui selepas kesnya didengari di Mahkamah Majistret Melbourne pada 9 Januari tahun depan.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Roit Jaem berkata, Beatrice pasti berdepan dengan proses yang sukar untuk melepaskan diri dari segala dakwaan dan hukuman sekiranya mahkamah di negara itu mendapati dia terbukti bersalah.
Mengulas lanjut, perkara yang menjadi halangan besar bagi kes seumpamanya ialah disebabkan beg berisi 1.5 kilogram dadah jenis heroin yang dibawa oleh Beatrice disahkan kementeriannya  didaftarkan atas nama mangsa.
Bagaimanapun katanya, pihak konsul Malaysia di Australia sedang berusaha untuk membantu gadis Bidayuh yang menjadi mangsa keldai hitam itu.
“Saya difahamkan baru-baru ini, Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne, Dr Mohamad Rameez Yahaya melawat mangsa yang ketika ini masih ditahan reman di penjara.
“Kita amat gembira apabila difahamkan Beatrice menerima layanan yang baik daripada pihak penjara malah dia dalam keadaan yang sihat,” katanya ketika ditemui selepas Pemilihan Jawatankuasa  Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini.
Beatrice, 27, anak kelahiran Kampung Seratau, Jalan Kuching-Serian bulan lepas dilaporkan dihadapkan ke Mahkamah Majistret
Melbourne kerana dituduh cuba menyeludup masuk 1.5 kilogram dadah jenis heroin menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne.
Pembantu jururawat

Mangsa yang juga seorang pembantu jururawat di sebuah hospital swasta di negeri ini diperintah ditahan sehingga sebutan semula kes pada 9 Januari tahun hadapan.
Beatrice dipercayai telah menjadi mangsa ‘keldai dadah’ oleh seorang lelaki bernama ‘Anthony’ warganegara Nigeria yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook.
Riot menambah Beatrice adalah antara lima wanita Sarawak yang ditahan di luar negara kerana bertindak sebagai keldai dadah selepas dipujuk oleh lelaki Afrika yang dikenali mereka melalui Facebook.
Manakala baru-baru ini juga, Ahli Parlimen Serian itu dipetik sebagai berkata Kementerian Luar Malaysia tidak akan mempergunakan hubungan baik Malaysia dan Australia untuk  meringankan hukuman Beatrice.
Katanya, melalui pendirian yang diwujudkan menerusi Konvensyen Vienna 1963, negara ini berjanji tidak akan mencampuri sistem perundangan atau kedaulatan mana-mana negara, meskipun mempunyai hubungan diplomatik baik.
“Dalam konvensyen itu, setiap negara sudah menyatakan pendirian tidak akan mencampuri atau mengganggu soal kedaulatan atau perundangan masing-masing.
“Oleh itu, biarpun rakyat ditahan di Australia misalnya, kita tidak akan mempergunakan hubungan baik semata-mata untuk melepas atau mengurangkan hukuman ke atas mereka kerana ini sudah jelas melanggar prinsip perjanjian,” katanya.

Logged

Ng Ai Fen
SMK Wira Penrissen
Laurina ak Maung
SMK Kapit
Teacher
Newbie
*

Fame: 0
Offline Offline

Gender: Female
Posts: 5


Marilah berbakti untuk anak bangsa tercinta


« Reply #1 on: February 12, 2012, 05:01:00 PM »

Topik yg ckgu bagi ni sangat bermanfaat untuk pelajar sy..Terima kasih, ckgu..
Logged

Laurina anak Maung
SMK Kapit
Guru Akademik Biasa
Pages: [1]   Go Up
  Print  
 
Jump to:  

Members
Total Members: 21315
Latest: ErolareetaHaxND
Stats
Total Posts: 254491
Total Topics: 21169
Online Today: 230
Online Ever: 718
(May 16, 2012, 08:58:21 PM)
Users Online
Users: 0
Guests: 147
Total: 147
PIPPBahagian Pembangunan Kurikulume-Paymente-Hasil
Powered by MySQL Powered by PHP Powered by SMF 1.1.16 | SMF © 2011, Simple Machines | Sitemap Valid XHTML 1.0! Valid CSS!
Page created in 0.122 seconds with 26 queries.